PUTRAJAYA: Belanjawan 2021 adalah manifestasi keprihatinan kerajaan terhadap situasi semasa rakyat sekali gus menggariskan strategi dan kesediaan dalam mendepani cabaran ketidaktentuan ekonomi global tahun hadapan.
Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, semua pihak perlu memberikan sokongan kepada kerajaan bagi memastikan Belanjawan 2021 ini diluluskan dan segala perancangan dapat direalisasikan demi kesejahteraan rakyat dan kemapanan ekonomi negara.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, dengan peruntukkan keseluruhan RM322.5 bilion, ia mengandungi pelbagai inisiatif yang dapat meringankan tanggungan rakyat dan menawarkan perlindungan sosial yang lebih baik kepada rakyat ketika berdepan dengan pandemik Covid-19.
“Selain meningkatkan kadar bantuan kebajikan kepada warga emas, golongan orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak daripada keluarga miskin.
“Ini jelas menunjukkan inisiatif kerajaan untuk membela golongan rentan dengan memberikan nilai bantuan yang lebih tinggi dan bersasar melalui Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).
“Belanjawan 2021 menawarkan pelbagai kemudahan, insentif dan pengecualian cukai perniagaan kepada para pelabur, peniaga serta pemain industri bagi tujuan merancakkan semula pertumbuhan ekonomi negara, seterusnya untuk memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan dan perniagaan berdaya saing tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hamzah berkata, ia juga sebagai tambahan kepada Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM305 bilion sebelum ini.
“Kami di Bersatu menzahirkan keyakinan dan sokongan penuh terhadap Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi pihak kerajaan pada 6 November lalu.
“Belanjawan 2021 yang bertemakan “Teguh Kita, Menang Bersama” membuktikan komitmen, kemampuan dan kebijaksanaan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memenuhi keperluan rakyat dan memulihkan keadaan ekonomi negara,” katanya.- UTUSAN ONLINE