SHAH ALAM: Dalam membasmi kegiatan rasuah dan penyelewengan, Kumpulan SIRIM (SIRIM) menggunakan prinsip T.R.U.S.T di semua urusan yang berkaitan dengan perniagaannya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, prinsip T.R.U.S.T itu merangkumi pelbagai tindakan seperti mencegah, mengesan dan bertindak balas terhadap berlakunya amalan rasuah.
“T.R.U.S.T didasarkan pada komitmen pengurusan tinggi, penaksiran risiko, menjalankan langkah kawalan, tinjaun sistematik, pemantaun dan penguatkuasaan serta latihan dan komunikasi.
“Dengan pengenalan prinsip ini menunjukkan kita toleransi sifar terhadap semua bentuk rasuah dan penyelewangan dalam urusan dan hubungan perniagaannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Fadzil berkata, pihaknya telah memulakan pelaksanaan audit verifikasi sebagai persediaan diperakui di bawah Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) berdasarkan standard MS ISO 37001:2016.
“ABMS direka untuk membantu syarikat mencegah, mengesan dan bertindak balas terhadap kejadian rasuah dengan standard ini meliputi pematuhan terhadap undang-undang, peraturan dan komitmen sukarela lain.
“Dengan melaksanakan dan mendapatkan pensijilan ABMS daripada badan persijilan pihak ketiga, membuktikan SIRIM telah menerapkan prosedur yang memadai,” katanya. – UTUSAN ONLINE