Sindiket edar dadah di Sabah, Sarawak tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket edar dadah di Sabah, Sarawak tumpas

RAZARUDIN Husain (tengah) menunjukkan dadah pelbagai jenis seberat 96.39 kilogram dengan jumlah RM5.6 juta yang dirampas dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam hari ini. - FOTO/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Taktik satu sindiket pengedaran dadah menggunakan kurier dan kargo kapal terbang untuk dipasarkan di Sabah dan Sarawak tumpas dengan tertangkapnya lima suspek termasuk seorang wanita Thailand kelmarin.

Kesemua mereka berusia 34 hingga 56 tahun itu ditahan dalam lima siri serbuan berasingan rumah dan bengkel di Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang.

Dalam serbuan yang mengambil tempoh lebih dua jam bermula pukul 11.40 pagi itu, dadah seberat 96.39 kilogram pelbagai jenis dianggarkan bernilai lebih RM4.8 juta berjaya dirampas. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, serbuan dilakukan secara serentak itu adalah kerjasama pihaknya dengan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati sindiket tersebut yang beroperasi sejak awal bulan lalu mendapat bekalan dadah dari negara jiran.

“Hasil tangkapan telah merampas dadah iaitu syabu sebanyak 76 kg; ecstacy (5.8 kg); ketamin (1.1 kg); heroin (0.45 kg) dan erimin 5 (13 kg). Siasatan mendapati dadah tersebut adalah untuk pasaran di Sabah dan Sarawak.

“Modus operandi sindiket adalah menggunakan dua kaedah iaitu kurier bagi dadah seberat satu atau dua kilogram, manakala kargo kapal terbang untuk jumlah kuantiti yang banyak,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Selangor di sini hari ini.

Dalam pada itu, Razarudin berkata, pihaknya turut menyita enam buah kenderaan mewah antaranya Audi dan Toyota Vellfire, barang kemas, jam tangan mewah dan wang tunai dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk dadah bernilai RM5.6 juta.

“Dalam tangkapan ini, dalang sindiket yang berusia 30-an berjaya ditangkap di Kuala Lumpur manakala wanita Thailand pula dipercayai isteri kepada salah seorang ahli sindiket tersebut.

“Berdasarkan pemeriksaan lanjut, kita mendapati dua daripada ahli sindiket mempunyai rekod jenayah lampau sebagai penagih dadah serta hanya seorang positif syabu,” ujarnya.

Kesemua mereka kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya