KLANG: Tiada kata yang terluah dan hanya mampu bersyukur apabila diterima bekerja walaupun baharu dibebaskan daripada penjara beberapa hari lalu.
Itulah luahan seorang bekas banduan yang hanya dikenali sebagai Aiman yang dikenakan hukuman penjara lapan bulan di Penjara Bentong atas kesalahan mencuri.
Aiman, 21, merupakan seorang daripada 22 bekas banduan dari tiga penjara iaitu Bentong, Pahang, Kajang, Selangor dan Tapah, Perak yang diterima bekerja di sebuah syarikat membuat perabot, Pellitalia Living Sdn. Bhd.( Pellitalia Living) yang terletak di Jalan Keretapi Lama, Kapar.
Menurut Aiman, dia sangat gembira kerana diterima bekerja di syarikat tersebut setelah dibebaskan daripada penjara beberapa hari lalu.
“Peluang ini barat membuka buku baru dalam kehidupan saya apabila mendapat kerja di sini dan hanya mampu bersyukur sahaja.
“Saya tidak sabar untuk bekerja pada Isnin hadapan dan tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan oleh pihak syarikat,” katanya ketika ditemui di kilang Pellitalia Living di Jalan Keretapi Lama, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (PERGAK), Datuk Seri Siti Murni Datuk Seri Sheikh Ahmad berkata, kesemua bekas banduan terbabit adalah peserta Program I-Kembali yang dilancarkan pada Jun lalu.
Menurutnya, objektif program tersebut untuk membantu bekas banduan mendapat pekerjaan sebaik sahaja mereka dibebaskan daripada penjara.
“Kita akan memadankan bidang pekerjaan berdasarkan minat, kebolehan dan kemampuan seseorang bekas banduan.
“Setakat hari ini, seramai 250 peserta I-Kembali yang telah bekerja dengan 35 buah syarikat daripada enam sektor industri di seluruh Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Pellitalia Living, Maria Koh berkata, pihaknya akan menyediakan tempat tinggal, makan dan minum untuk 22 bekas banduan itu ketika waktu kerja.
“Syarikat amat memerlukan pekerja baharu terutama individu warga tempatan. Malah, secara peribadinya, bagi saya program I-Kembali perlu disokong terutama dalam memberi peluang pekerjaan kepada warga tempatan,” katanya.-UTUSAN ONLINE