Sidang DUN Melaka tangguh, ADUN pembangkang tak setuju - Utusan Malaysia

Sidang DUN Melaka tangguh, ADUN pembangkang tak setuju

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang dijadualkan esok hingga 11 November ini telah ditangguhkan kepada 9 hingga 11 Disember depan.

Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Unit Dewan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKKN), Ahmad Azlan Ahmad Salleh berkata, keputusan itu susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ke atas negeri ini yang berkuatkuasa selama empat minggu mulai esok hingga 6 Disember.

Sehubungan itu, katanya, tempoh embargo bagi risalat juga telah dipanjangkan kepada 9 Disember ini dan tidak boleh disiarkan sebelum tarikh tersebut.

Azlan berkata, pertanyaan-pertanyaan Dewan, Usul dan Ucapan Penangguhan adalah sama dan tiada pindaan.

Sementara itu, keputusan menangguhkan Persidangan Ketiga (Bajet) bagi Penggal Ketiga DUN Melaka Ke-14 itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang.

ADUN Durian Tunggal, Datuk Mohd. Sofi Abdul Wahab berkata, beliau tidak bersetuju dengan keputusan tersebut kerana sidang Dewan Rakyat di ibu negara tiada masalah untuk diadakan meskipun PKPB telah dilaksanakan di Lembah Klang, sebelum ini.

Beliau berkata, penangguhan selama sebulan menyebabkan perancangan kerajaan negeri untuk perbelanjaan akan terjejas ekoran tidak boleh dibahas dan diluluskan dengan segera.

“Sebenarnya tak perlu tangguh kerana pihak DUN boleh mengambil pendekatan mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, apatah lagi kita di Melaka hanya ada 28 ADUN yang masih boleh hadir berbahas walaupun perlu penjarakan fizikal.

“Sidang DUN kali ini sangat penting untuk diadakan sebagaimana kita tahu bahawa agendanya adalah untuk pembentangan bajet negeri yang patut dilaksanakan segera,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, ADUN Machap Jaya, Ginie Lim Siew Lin berkata, kerajaan negeri wajar mencontohi Selangor yang meneruskan sidang DUN walaupun dalam keadaan PKPB. 

“Selangor membuktikan sidang DUN boleh dikendalikan dengan mematuhi SOP pencegahan pandemik Covid-19. Jadi, PKPB bukan alasan untuk penangguhan sidang DUN,” ujarnya.

Kata beliau lagi, kerajaan negeri sepatutnya perlu bersiap sedia pada setiap masa dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19 tanpa menjejaskan kelancaran pentadbiran awam dan kepentingan rakyat. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya