Setuju laporan bedah siasat Nora Anne - Utusan Malaysia

Setuju laporan bedah siasat Nora Anne

DR. Nathaniel Roger Blair Cary (kiri,bawah) memberikan keterangan dalam prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Nora Anne Quoirin yang dijalankan secara penstriman dalam talian-UTUSAN/AFIFI HAFIZ MOHD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mahkamah Koroner Seremban hari ini dimaklumkan oleh seorang pakar patologi forensik bahawa tiada sebab untuk laporan bedah siasat kematian Nora Anne Quoirin tidak dipersetujui.

Dr. Nathaniel Roger Blair Cary, pakar patologi yang dilantik kerajaan United Kingdom yang merupakan saksi ke-41 dalam prosiding inkues kematian remaja Ireland itu juga memberitahu, dia telah melakukan bedah siasat pada tubuh Nora Anne pada 28 Ogos 2019 iaitu 15 hari selepas mayat dijumpai.

“Tiada alasan untuk saya tidak bersetuju dengan laporan bedah siasat awal yang dilakukan di Malaysia kerana laporan itu munasabah. Mangsa mungkin telah meninggal dunia akibat pendarahan dalaman yang disebabkan oleh kelaparan,” katanya dalam prosiding yang dijalankan secara penstriman video itu.

Prosiding hari ini dikendalikan oleh pegawai inkues, Ahmad Sazali Omar.

Tambah Dr. Nathaniel, dia berpuas hati bahawa terdapat bukti ulserasi dan pendarahan usus berdasarkan penerangan terperinci yang diberikan.

“Walaupun tidak mungkin pada pemeriksaan saya untuk mengesahkan penyebab kematian yang dicatatkan di Malaysia. Saya berpuas hati bahawa terdapat bukti ulser dan pendarahan di bahagian usus berdasarkan penerangan terperinci yang diberikan,” tambahnya di hadapan Koroner, Maimoonah Aid.

Nora Anne, 15, anak sulung kepada tiga beradik yang juga merupakan anak istimewa, bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di sebuah resort di Pantai, Seremban pada 3 Ogos 2019.

Nora Anne kemudiannya dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya sebelum mayatnya ditemui sembilan hari selepas itu.

Laporan awal bedah siasat mendapati kematian Nora Anne tidak mempunyai unsur jenayah dan disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan dalam tempoh yang lama.

Prosiding bersambung semula 7 Disember 2020.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN