KUALA LUMPUR : Sesi persidangan Parlimen hari ini akan ditamatkan awal sehingga pukul 1 tengah hari ekoran penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan kakitangan Dewan Negara.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri( Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, langkah tersebut juga dibuat berdasarkan nasihat wakil Kementerian Kesihatan dan persetujuan ketua whip semua parti menerusi mesyuarat tergempar dengan dipengerusikan Yang DiPertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun pagi tadi.
Katanya, langkah tersebut dibuat berdasarkan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat 12 (1).
“Mesyuarat ambil satu ketetapan norma baharu berhubung persidangan berdasarkan faktor berkenaan dengan syarat apa-apa yang dilakukan tidak jejas hak Ahli Parlimen untuk bertanya dan berbahas.
“Kedua Parlimen akan kendali satu tatacara pentadbiran dengan mencatatkan kehadain Ahli Parlimen ke dalam Dewan,” katanya dalam sesi Dewan Rakyat hari ini. – UTUSAN