Seorang tahan reman kes bunuh positif Covid-19 - Utusan Malaysia

Seorang tahan reman kes bunuh positif Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis mengesahkan seorang tahanan reman kes bunuh di lokap Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat didapati positif Covid-19.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Picthay berkata, lelaki warga Myanmar berusia 29 tahun itu disahkan positif setelah ujian pengesanan Covid-19 dilakukan terhadap suspek berkenaan.

Beliau berkata, sehubungan itu, 60 pegawai dan anggota IPD tersebut telah menjalani ujian pengesanan dan mereka diarahkan untuk kuarantin di rumah masing-masing.

“Kita tunggu keputusan ujian pada petang ini, jika negatif mereka dibenarkan bertugas. Kalau positif, mereka perlu menjalani kuarantin di pusat kuarantin.  

“Namun begitu, IPD Segamat masih beroperasi dan lokap berkenaan telah pun disanitasi,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan tinjauan di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Skudai di sini hari ini.

Suspek itu merupakan antara lapan individu berusia antara 29 hingga 35 tahun yang direman berhubung kes bunuh lelaki warga Bangladesh dalam satu pergaduhan berlaku di tapak pembinaan Taman Kenari, Bukit Siput, Segamat pada 3 November lalu.

Dalam kejadian pada pukul 10.40 malam itu, mangsa berusia 44 tahun maut akibat cedera parah setelah dilanggar sebuah kereta Proton Gen 2 manakala dua rakannya yang lain pula cedera parah.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, pihaknya mempunyai perancangan tertentu sekiranya ada pegawai dan anggota IPD Segamat disahkan positif.

“Kita telah susun atur kekuatan sekiranya berlaku sesuatu. Tadi saya pun dah bercakap dengan Ketua Polis Segamat, beliau cakap mereka mampu lagi untuk bertugas.

“Kalau tidak cukup anggota, kita akan gerak anggota daripada daerah berdekatan. Setakat ini mereka mampu lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya