TUMPAT: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu merampas rokok seludup bernilai RM3 juta yang disembunyikan dalam sebuah rumah sarang burung walit terbiar di Kampung Dalam, dekat sini semalam.
Serbuan pukul 10 pagi itu dilakukan oleh anggota pasukan berkenaan sebaik sahaja menerima maklumat berkait dengan aktiviti penyeludupan.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9 Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, sejurus tiba di lokasi pihaknya terus melakukan pemeriksaan dan mendapati pintu hadapan bangunan itu tidak berkunci.
“Bila anggota PGA masuk ke dalam bangunan berkenaan, kami dapati ada satu pintu yang telah dikunci menggunakan mangga.
“Kami terpaksa membuka kunci itu bagi membolehkan pemeriksaan dilakukan ke dalam bangunan,” katanya kepada pemberita di Markas PGA Kuala Jambu di sini hari ini.
Nor Azizan memberitahu, pihaknya kemudian telah menemukan bungkusan plastik yang mengandungi rokok seludup berjumlah 19,230 karton.
Katanya, siasatan awal mendapati rokok-rokok itu yang berasal dari China diseludup dari negara jiran menggunakan laluan-laluan tikus bagi mengelak dicekup penguat kuasa.
“Ini merupakan rampasan rokok terbesar yang berjaya dilakukan oleh PGA sepanjang tempoh tiga tahun.
“Kita percaya rokok-rokok itu akan dijual kepada warga asing di negara ini,” ujarnya.
Nor Azizan berkata, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan ‘dalang’ sebenar di sebalik aktiviti itu.
Katanya, kawalan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini menerusi Op Benteng Covid-19 akan terus diketatkan bagi memastikan aktivi jenayah rentas sempadan berjaya dibanteras.-UTUSAN ONLINE