Sembilan kenderaan diperiksa, 55 calitan sampel DNA diambil - Utusan Malaysia

Sembilan kenderaan diperiksa, 55 calitan sampel DNA diambil

S. Udiasoorian (barisan tengah, kanan) memberikan keterangan dalam prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Nora Anne Quoirin yang dijalankan secara penstriman dalam talian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).-UTUSAN/AFIFI HAFIZ MOHD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak sembilan buah kenderaan diperiksa dan disiasat Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan bagi membantu siasatan kes kehilangan remaja Ireland, Nora Anne Quoirin.

Sembilan buah kenderaan itu terdiri daripada dua buah Perodua Myvi, dua buah Nissan X-Trail dan masing-masing sebuah Toyota Vios, Proton Wira, Proton Saga, Honda Insight dan Honda Civic.

Perkara itu diberitahu kepada Mahkamah Koroner Seremban oleh saksi ke-40, dalam prosiding inkues kematian Nora Anne, Pegawai Turus Unit Foreksik IPK Negeri Sembilan, Asisten Superintenden, S. Udiasoorian, 59.

Menurutnya, pada pukul 12 tengah hari, 10 Ogos tahun lalu, pasukannya yang diketuai Inspektor M. Malarvilli telah membuat pemeriksaan terhadap kereta Proton Saga berwarna biru di Kuaters Kakitangan Loji Rawatan Air Ngoi Ngoi, dekat sini.

Katanya, sebelum itu, beliau juga telah diminta oleh pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Inspektor Wan Faridah Mustanin untuk membantu bagi tujuan pemeriksaan dan penyiasatan.

“Hasil pemeriksaan itu, telah mengumpul beberapa barang kes iaitu satu calitan sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) satu tuala warna merah dan dua kesan cap jari pada kenderaan tersebut,” katanya.

Prosiding inkues yang berjalan secara penstriman video itu berlangsung di hadapan Koroner, Maimoonah Aid.

Tambahnya lagi, pada 11 Ogos 2019 iaitupukul 2 petang, beliau telah dimaklumkan oleh pegawai penyiasat IPD Nilai yang meminta pihaknya untuk hadir ke Balai Polis Pantai bagi tujuan pemeriksaan ke atas dua buah kereta jenis Toyota Vios dan Perodua Myvi.

“Hasilnya telah berjaya mengumpul beberapa barang kes iaitu 12 calitan sampel DNA, satu pasang selipar, satu sudu berwarna hitam dan tiga kesan cap jari pada kenderaan tersebut (Toyota Vios).

“Pada pukul lebih kurang 5 petang saya bersama pasukan telah menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kereta Perodua Myvi warna kelabu dan hasilnya telah berjaya mengumpul beberapa barang kes iaitu empat calitan sampel DNA,” tambahnya.

Menurut Udiasoorian, sebanyak enam kenderaan lain telah diperiksa dan disiasat antara 12 Ogos hingga 17 Ogos tahun lepas dan berhasil memperoleh 38 calitan sampel DNA di kenderaan berkenaan.

Nora Anne, 15, anak sulung kepada tiga beradik yang juga merupakan anak istimewa, bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di sebuah resort di Pantai, Seremban pada 3 Ogos 2019.

Nora Anne kemudiannya dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya sebelum mayatnya ditemui sembilan hari selepas itu.

Laporan awal bedah siasat mendapati kematian Nora Anne tidak mempunyai unsur jenayah dan disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan dalam tempoh yang lama.

Prosiding bersambung semula pada 30 November 2020. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya