Seludup dadah lebih RM1j guna syarikat kurier - Utusan Malaysia

Seludup dadah lebih RM1j guna syarikat kurier

Johari Alifiah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Sindiket penyeludupan dadah melalui penghantaran bungkusan berjaya ditumpaskan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri hasil satu pemeriksaan ke atas sebuah syarikat kurier di sini, minggu lalu.

Dalam pemeriksaan kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu, sebanyak lapan bungkusan yang diikrarkan sebagai alat papan litar elektronik melibatkan tiga alamat pengirim di Kuala Lumpur untuk dihantar ke salah sebuah negara di Oceania berjaya dirampas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasa dan Pematuhan), Datuk Johari Alifiah berkata, pemeriksaan lanjut kemudian menjumpai sebanyak 18 bungkusan timah di dalam alat berkenaan.

Katanya, bungkusan timah itu mengandungi hablur kristal yang diisi dalam plastik lutsinar yang disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 6,075 gram dengan anggaran nilai pasaran RM911,250.

“Susulan penemuan itu, Unit Narkotik JKDM Pulau Pinang telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun bersama-sama satu bungkusan untuk dikirim ke sebuah negara Oceania dalam sebuah premis kira-kira pukul 11 pagi, Rabu lalu.

“Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat satu papan litar elektronik dalam bungkusan itu yang di dalamnya terdapat dua bungkusan timah yang mengandungi hablur kristal disyaki dadah,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Jelas Johari, anggaran berat kesemua bungkusan yang disyaki dadah jenis methamphetamine itu ialah kira-kira satu kilogram dengan nilai pasaran sebanyak RM150,450.

Katanya, jumlah itu sekaligus menjadikan nilai keseluruhan rampasan dadah tersebut ialah sebanyak 7,078 gram dengan nilai pasaran mencecah RM1,061,700.

“Soal siasat terhadap suspek tersebut kemudian membawa kepada penangkapan seorang lagi lelaki tempatan berumur 39 tahun di Selayang, Selangor.

“Suspek pertama telah mendapat perintah reman selama tujuh hari daripada Mahkamah Majistret Balik Pulau bermula Khamis lalu manakala suspek kedua pula direman selama lima hari bermula kelmarin” katanya yang percaya kegiatan tersebut telah beroperasi sejak lebih sebulan lalu.

Tambah Johari, kes itu kini sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika disabitkan kesalahan boleh membawa kepada hukuman gantung mandatori. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN