SEREMBAN: Loji Rawatan Air (LRA) baharu di Pengkalan Kempas, Port Dickson perlu dibina bagi membekalkan air untuk tempoh jangka masa panjang di kawasan Port Dickson dan Seremban.
Ia bagi menggantikan operasi LRA Linggi di Rantau dekat sini yang sering mengalami masalah sehingga dan mengakibatkan gangguan bekalan air di Port Dickson.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, LRA Linggi juga sudah terlalu lama beroperasi iaitu sejak tahun 1960-an malah operasinya kini pula memerlukan kos yang besar.
“Secara dasarnya cadangan untuk membina pintu air dan LRA di Pengkalan Kempas sudah diluluskan kerajaan Persekutuan pada 2016, ini kerana di kuala, airnya tidak pernah kering berbanding membuat empangan di gunung (hulu) kerana hujan tak turun di gunung, jadi buat di situ (Pengkalan Kempas) dengan LRA yang besar kapasitinya untuk membekalkan air untuk seluruh Negeri Sembilan atau sekurang-kurangnya Port Dickson dan Seremban.
“Saya minta supaya segerakan saya minta disegerakan buat LRA di Pengkalan Kempas dan tutup LRA Linggi. LRA Linggi antara loji yang paling tinggi kos operasinya dalam negara, kerana airnya terlampau kotor, menggunakan terlalu banyak bahan kimia untuk membersihkan air. Pintu air LRA kini sepatutnya automatik apabila paras air naik tapi LRA Linggi masih lagi manual,” katanya.
Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir kilat di sekitar Rantau di sini hari ini.
Tambahnya, sekiranya pembinaan LRA di Pengkalan Kempas dapat dilaksanakan segera, Seremban dan Port Dickson dijangka tidak akan mengalami masalah bekalan air sehingga tahun 2045.
Sementara itu, mengulas kejadian banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Seremban termasuk di Rantau pada 4 November lalu, beliau berharap projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan di Sungai Linggi ketika ini dapat memberikan tumpuan kepada pembinaan tebing yang lebih kukuh.
“Kalau tahu kawasan ini boleh banjir, benteng buat elok-elok, supaya boleh menahan, kawasan kampung di kawasan ini (Kuala Sawah) ia rendah, kalau benteng pecah, memang air akan mencurah masuk. Saya harap supaya projek tebatan banjir, dibuat benteng yang kukuh,” katanya.-UTUSAN ONLINE