KUALA PILAH: Rasa tidak sedap hati susulan empat hari tidak bertemu sahabat karibnya membawa kepada penemuan mayat di sebuah rumah di Kampung Kabong, Inas, dekat sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, Jamaluddin Arifin, 58, terkejut apabila meninjau ke dalam rumah dan mendapati rakannya, Zainal Abidin Salleh, 52, terbaring kaku di atas lantai rumah.
Menurut Jamaluddin, kali terakhir dia bertemu dengan rakannya itu adalah pada hari Jumaat lalu dan kebiasaannya pada siang hari sahabatnya itu akan membuka pintu rumah.
“Pagi ini bila saya menunggang motosikal dan lalu depan rumahnya, saya mula berasa tidak sedap hati bila pintu rumah tidak terbuka. Selalunya pintu terbuka dan saya dapat melihat pergerakan rakan saya itu di dalam rumah.
“Saya mula rasa tak sedap hati dan berpatah balik saya dekati rumahnya dan mula terbau busuk. Bila saya jenguk ke dalam, sahabat saya ini sudah terbaring kaku dan hampir reput,” katanya ketika ditemui di Kampung Kabong, Inas, dekat sini hari ini.
Seorang jiran, Jamaludin Harun, 62, pula berkata dia tidak menyangka bau busuk sejak beberapa hari lalu merupakan bau mayat.
“Saya ingatkan bau busuk itu adalah bau bangkai haiwan tak sangka pula ada kematian beberapa hari lalu,” katanya.
Menurutnya, Allahyarham masih bujang dan tinggal bersendirian dan dua kakaknya tinggal di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Ghani ketika dihubungi berkata, pasukannya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat daripada penduduk kampung.
Menurutnya, sebaik sahaja tiba di lokasi, polis telah menolak pintu rumah dan mendapati satu mayat dipenuhi ulat berada pada bahagian ruang tamu rumah.
“Pemeriksaan pada tubuh badan mangsa juga menjumpai mangsa mengenggam ‘Nebulizer’(penyedut ubat asma) di bahagian tangan kanannya.
“Mangsa dipercayai mengidap sakit asma yang kronik. Mayat di bawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) bagi proses bedah siasat esok.
“Ujian saringan Covid-19 telah dijalankan ke atas mayat namun keputusannya masih belum diperoleh,” katanya.
Menurutnya, buat masa ini kes tersebut diklasifikasi sebagai mati mengejut.-UTUSAN ONLINE