KUALA LUMPUR: Sebutan kes meminta dan menerima rasuah sebanyak RM1.35 juta membabitkan Setiausaha Politik bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu ditangguhkan ke pertengahan Disember ini.
Peguam bela, Ariff Azami Hussein yang mewakili Mohd. Azhar Che Mat Dali, 49, ketika dihubungi berkata, penangguhan tersebut dimaklumkan mahkamah ekoran pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dijangka berakhir 6 Disember ini.
“Sebutan kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ditetapkan 16 Disember manakala sebutan bagi kes rasuah di Mahkamah Sesyen Shah Alam ditetapkan pada keesokan harinya iaitu 17 Disember,” katanya ketika dihubungi di sini.
Tambahnya, buat masa ini masih belum ada sebarang permohonan daripada pihak pendakwaan untuk kedua-dua kes di ibu negara dan Shah Alam untuk dibicarakan bersama.
Pada 15 Oktober lalu, di Mahkamah Sesyen di sini, bekas Setiausaha Politik itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan meminta sebanyak RM5 juta daripada Pengarah Urusan syarikat FEHM Entity Sdn. Bhd. (FEHM), Elias Jemadi Tajudin.
Dia juga didakwa atas empat pertuduhan menerima RM1.35 juta daripada individu sama di antara September 2019 hingga Februari lalu di pelbagai lokasi termasuk di tempat letak kereta kediaman rasmi Menteri Pertahan Pertahanan, Jalan Bellamy di sini.
Pada 23 Oktober lalu, Mohd. Azhar didakwa pula di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM130,000 daripada Pengarah Urusan Aqsa Solution Sdn. Bhd., Elias Jemadi sebagai upah membantu syarikat FEHM Entity untuk dipilih menjadi Rakan Strategik dan Kontraktor Selenggara bagi peralatan perisikan Kementerian Pertahanan.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali jumlah suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi. – UTUSAN ONLINE