'Saya nak kebumikan dia elok-elok' - Utusan Malaysia

‘Saya nak kebumikan dia elok-elok’

Maizatul Nadia Zulkifli
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: “Seorang ibu mesti mahukan anaknya kembali (dijumpai), tidak kira bagaimanapun jasadnya.”

Itu kata Maizatul Nadia Zulkifli, ibu kepada Muhammad Deniss Ramadhan Amar Fizry, kanak-kanak 10 tahun yang ditemukan mati lemas hari ini setelah terjatuh ke dalam Sungai Chepor di Kampung  Chepor Dalam, Selasa lalu.

Mayat Muhammad Deniss Ramadhan Amar Fizry ditemukan pada pukul 2.55 petang di Sungai Kinta berhampiran Kawasan Perindustrian Lahat di sini.

Mayat kanak-kanak itu dijumpai tersangkut pada batang pokok di tepi sungai oleh pasukan ‘rafting’, Kamparado. 

Menurut wanita berusia 30-an itu, nalurinya sebagai seorang ibu memang merasakan anak kedua daripada tiga beradik itu telah pun tiada namun bersyukur akhirnya mayat anaknya ditemui bagi membolehkan jenazah dikebumikan.

“Saya reda kerana naluri seorang ibu memang merasakan dia telah tiada. Saya mahu kebumikan dia elok-elok dengan penemuan jasadnya.

“Sejak dia terjatuh, memang saya tunggu di sini (Sungai Chepor) hingga ke Manjoi. 

“Terima kasih kepada semua pihak kerana membantu usaha mencari anak saya, hanya Allah yang dapat membalasnya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, mayat kanak-kanak itu ditemukan pada jarak 17 kilometer dari lokasi dia terjatuh di Sungai Chepor.

Katanya, mayat yang masih lengkap berpakaian itu dijumpai dengan beberapa kesan kecederaan di kepala dan badan.

“Mangsa dijumpai tersangkut pada batang pokok di bahagian tepi sungai. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan mati mengejut,” katanya. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi Selasa lalu, mangsa yang juga murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Seri Klebang terjatuh ketika mahu menyelamatkan rakannya yang sedang mengambil selipar sebelum hanyut dibawa arus deras. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya