"Saya mahu jadi ADUN pertama potong gaji" - Osman Sapian - Utusan Malaysia

“Saya mahu jadi ADUN pertama potong gaji” – Osman Sapian

OSMAN SAPIAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU :  Semua gaji 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor wajar dipotong 10 peratus bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan negeri susulan krisis pandemik Covid-19 yang dihadapi masa kini.

Bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, malah gaji Menteri Besar perlu dipotong 20 peratus manakala Exco pula sebanyak 15 peratus.

Katanya, langkah itu mencerminkan solidariti kepimpinan kerajaan dan wakil rakyat terhadap rakyat terkesan khususnya dibuang kerja dan perniagaan pula ditutup.

“Dianggarkan kerajaan dapat jimat RM54,000 sebulan dengan pemotongan gaji sebanyak RM900. Ia tidak termasuk lagi gaji Menteri Besar dan Exco.

“Saya bersedia dipotong gaji dan ingin mahu  jadi ADUN pertama akan berbuat demikian jika kerajaan negeri memutuskan langkah berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Sebelum ini bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memaklumkan beliau bersedia memotong 10 peratus dari pencennya dan digunakan untuk mengurangkan beban mereka yang hilang punca pendapatan.

Osman yang juga ADUN Kempas, pernah mengarahkan semua gaji Exco dipotong sebanyak 10 peratus sewaktu beliau menjadi Menteri Besar di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Sehubungan itu, beliau akan membawa cadangan pemotongan gaji ketika perbahasan Belanjawan Johor 2021 di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada minggu depan.

“Duit ini boleh disalurkan kepada Tabung Bencana Negeri atau digunakan untuk rakyat terkesan akibat pandemik ini,” katanya.

Dalam pada itu, Osman berkata, kini bukan masanya untuk Johor mengikut jejak langkah Kelantan yang menaikkan gaji ADUN sewaktu negara berhadapan situasi getir Covid-19.

“Sekarang bukan masa sesuai untuk sebarang syor menaikkan gaji. Jika ada cadangan, saya Wakil Rakyat pertama yang membantah,” katanya. 

Sementara itu, Osman berkata, pihak kerajaan negeri boleh boleh meneruskan pemberian bantuan saguhati atau bonus kepada penjawat awam negeri.

Katanya, ia tidak akan mendatangkan masalah kepada kedudukan kerajaan walaupun Johor setiap tahun mengalami defisit.

“Ini merupakan kitaran ekonomi. Jika penjawat awam berbelanja, maka ekonomi akan bertambah baik dan pulih.

“Apatah lagi penjawat awam yang bergred rendah amat terkesan dengan keadaan ekonomi malah ada mereka barisan hadapan yang bertungkus-lumus sejak wabak melanda dan mereka perlu dihargai,” katanya.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya