PUTRAJAYA: Sebanyak 1,815 kotak kosong dan 80 kotak berisi sarung tangan jenama Max Care tiruan bernilai RM37,075 dirampas dalam satu operasi serbuan oleh Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam.
Menurut Pengarahnya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman, operasi itu dijalankan hasil daripada aduan wakil pemilik cap dagang berdaftar jenama itu di sebuah gudang di Taman Perindustrian Bukit Serdang di Seri Kembangan, Selangor.
Katanya, modus operandi peniaga barang tiruan itu adalah membeli sarung tangan getah daripada pembekal luar negara kemudiannya dibungkus semula menggunakan jenama cap dagangan berdaftar berkenaan.
“Perbandingan sarung tangan getah tiruan dengan sarung tangan getah yang asli adalah dari segi kualiti, ketebalan, warna, pembungkusan dan pencetakan pada kotak pembungkusan.
“Ketika serbuan dijalankan pekerja-pekerja dalam premis sedang leka melakukan aktiviti pembungkusan semula tanpa menyedari kehadiran pegawai-pegawai penguat kuasa.
“Kesemua barang-barang tersebut telah dirampas dan seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis ditahan dan diambil keterangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Iskandar Halim, kes disiasat dibawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu memiliki bagi maksud perdagangan barang- barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.
Jika sabit kesalahan, katanya, seseorang boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar.
“Bahagian Penguat Kuasa memberi amaran kepada individu atau syarikat tersebut agar lebih bertanggungjawab dan menghormati harta intelek orang lain.
“Mana-mana individu mahupun syarikat yang melanggar undang-undang, terutama membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang yang dikuatkuasakan,” katanya.
Beliau turut memberitahu, sejak Januari sehingga Oktober tahun ini, sebanyak 257 kes berkaitan barang tiruan telah dihasilkan dengan nilai rampasan sebanyak RM4.5 juta.
Jelasnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyimpanan dan penjualan barang tiruan disarankan supaya melaporkan kegiatan ini melalui hotline 1-800-886-800, WhatsApp 019-2794317 atau 03- 8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDNHEP. – UTUSAN