PUTRAJAYA: Saringan Covid-19 ke atas semua mangsa banjir di Pusat Penempatan Sementara akan dilaksanakan sekiranya berlaku implikasi atau gejala.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, buat masa ini, pihaknya hanya melaksanakan tindakan mengelak jangkitan penyakit di pusat berkenaan seperti mana wujudnya prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Katanya, semua ini mengguna pakai Panduan Pencegahan dan Pengurusan Covid-19 di Pusat Penempatan Sementara yang turut boleh diguna pakai negeri yang dilanda banjir.
“Kementerian sememangnya sudah bersiapsiaga dalam menghadapi banjir seperti tahun sebelum ini namun kali ini, ada perbezaan sedikit iaitu langkah-langkah Pencegahan penyebaran wabak Covid-19.
“Pusat Penempatan Sementara sentiasa terjaga bukan sahaja bagi mengelakkan penyebaran Covid-19 tetapi penyakit berjangkit lain,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu banjir yang berlaku di beberapa negeri hingga wujudnya PPS untuk mangsa banjir.
Noor Hisham berkata, panduan tersebut juga sudah dimaklumkan kepada pejabat kesihatan negeri.
“Antara pelaksanaan yang dilakukan ialah kubikal antara satu sama lain dijarakkan yang mempunyai penghadang dengan jarak dua meter, ada tempat cuci tangan dan pemakaian pelitup muka,” katanya. -UTUSAN ONLINE