KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara (KPN) dan tiga lagi yang disaman atas dakwaan gagal melaksanakan perintah mahkamah dalam mendapatkan semula anak perempuannya yang dilarikan bekas suami telah menerima saman masing-masing.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili guru tadika, M. Indira Gandhi selaku plaintif dalam saman itu ketika dihubungi media hari ini.
Tambahnya, saman terhadap KPN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku defendan pertama dan kedua diserahkan secara serahan tangan pada Selasa lalu manakala dua lagi defendan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia diserahkan semalam (Rabu) juga secara serahan tangan.
“Pengurusan kes secara dalam talian (e-review) ditetapkan pada 30 November ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Idamasliza Maarof,” katanya.
Pada 28 Oktober lalu, Indira Gandhi memfailkan saman tersebut dengan mendakwa KPN enggan mematuhi perintah mahkamah untuk menahan bekas suaminya, K. Patmanathan atau nama selepas memeluk agama Islam, Muhammad Riduan Abdullah, 51, dan memulangkan anak perempuannya, P. Prasana Diksa.
Kanak-kanak yang berusia 12 tahun ketika kejadian dikatakan dilarikan oleh lelaki berkenaan sejak 10 tahun lalu iaitu selepas Mahkamah Tinggi Sivil Ipoh telah memberikan hak penjagaan ketiga-tiga anak kepada guru tadika terbabit pada 11 Mac 2010.
Pada 29 April 2016, Mahkamah Persekutuan, Putrajaya mengekalkan perintah mandamus (memaksa) KPN untuk mematuhi dan melaksanakan perintah komital dan pengembalian semula kanak-kanak terbabit.
Walau bagaimanapun, sehingga hari ini KPN masih gagal atau enggan melaksanakan perintah-perintah tersebut walaupun mengetahui keberadaan bekas suaminya dan anak perempuannya itu.
Oleh itu, plaintif mendakwa defendan pertama mempunyai niat jahat dan sengaja tidak mengambil tindakan (tort of nonfeasance) untuk menangkap Muhammad Riduan dan mengembalikan Prasana Diksa kepadanya dan PDRM, KDN dan Kerajaan Malaysia didakwa bertanggungjawab atas keengganan defendan pertama itu.
Sehubungan itu, Indira Gandhi memohon deklarasi bahawa KPN telah melakukan tort of nonfeasance dan defendan kedua hingga keempat bertanggungjawab atas tindakan defendan pertama.
Turut dimohon ialah ganti rugi am, teruk dan teladan yang akan ditaksirkan serta kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah. -UTUSAN ONLINE