Rumah tenggelam, suami isteri Rela tetap bertugas di PPS - Utusan Malaysia

Rumah tenggelam, suami isteri Rela tetap bertugas di PPS

Erawati Jaafardan Roslan Hassan tetap meneruskan tugas sebagai rela di PPS Kampung Air Putih, Kemaman._ UTUSAN/ NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Pasangan suami isteri dari Kampung Teladas, Air Putih di sini tetap komited berkhidmat sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) walaupun kediaman mereka ditenggelami banjir sehingga paras bumbung.

Erawati Jaafar, 36, bersama suami, Roslan Hassan, 48, yang merupakan antara 383 mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) dewan serba guna Kampung Air Putih masih meneruskan tugasan berkhidmat untuk masyarakat di PPS berkenaan.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, ketika kejadian, dia dan suami bersama-sama bertugas di pasar minggu kampung berdekatan sejak dari pukul 7 pagi dan tiada di rumah ketika air melimpah masuk, semalam.

“Saya ingatkan air naik seperti biasa jadi saya minta suami balik dahulu untuk mengemas barang dan selepas selesai kerja baru saya pulang.

“Setibanya di rumah kira-kira pukul 8 lebih saya dapati air sudah melebihi paras pinggang dan barang-barang yang diletakkan di atas para semua tenggelam dan yang kelihatan hanya bumbung kediaman sahaja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di PPS itu di sini hari ini.

Erawati bagaimanapun terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan pakaian dan buku sekolah anaknya yang berusia antara enam hingga 12 tahun.

Katanya, dalam situasi cemas itu dia hanya sempat mengambil dokumen penting keluarga manakala barangan sekolah anak-anaknya di samping empat uniform Rela mereka gagal diselamatkan.

Sementara itu, Nor Atiqah Najwa Zaniza, 21, berkata, hasratnya untuk pulang ke rumah selepas selesai membawa anak keduanya, Ahmad Faiq Arsyad Ahmad Fahmi yang berusia tujuh hari menjalani pemeriksaan di klinik terpaksa dibatalkan apabila kediamannya dinaiki air sedalam satu meter.

Katanya, kira-kira 30 minit sebelum meninggalkan rumah, air masih belum naik dan terkejut sebaik sahaja dimaklumkan tentang kejadian itu.

“Mujurlah abang ada di rumah bagi membantu menguruskan anak sulung yang ditinggalkan bersama nenek.

“Walaupun tidak selesa tinggal di PPS dalam keadaan yang masih berpantang tetapi saya bersyukur kerana kami sekeluarga masih mempunyai tempat untuk berlindung daripada banjir,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya