Rumah sewa dua tingkat hangus kerana lilin - Utusan Malaysia

Rumah sewa dua tingkat hangus kerana lilin

KEADAAN rumah dua tingkat yang terbakar di Kampung Bakau Tinggi, Kemaman, malam tadi.-UTUSAN/ NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Gara-gara sebatang lilin, sebuah rumah sewa dua tingkat yang didiami tiga beranak musnah dalam kebakaran di Kampung Bakau Tinggi, dekat sini malam tadi. 

Kejadian kira-kira pukul 11 malam itu berlaku ketika Mohd. Khairul Rizam Ahmad Zainudin, 27, bersama isteri, Syafiqah Mustafa, 26, dan anak mereka, Mohd. Adam Rizqi, 2, tidur di bilik bahagian atas kediaman tersebut. 

Mohd. Khairul Rizam berkata, dia memasang lilin dan meletakkannya di atas sebuah almari sebelum tidur kira-kira pukul 8.30 malam selepas bekalan elektrik di kawasan rumahnya terputus. 

“Kami sekeluarga tidur awal sebab tiada elektrik dan kejadian hanya disedari isteri yang terjaga melihat api di bahagian almari.

“Saya bergegas menyelamatkan anak kami manakala isteri berkejar ke rumah jiran untuk meminta pertolongan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. 

Mohd. Khairul Rizam yang merupakan pengawal keselamatan di sebuah bank di  Chukai berkata, api yang merebak terlalu cepat menyebabkannya tidak dapat menyelamatkan barangan berharga. 

“Hanya beg duit dan telefon bimbit milik isteri yang sempat dicapai, kami betul-betul tinggal sehelai sepinggang,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Mohd. Nurhilman Johari berkata, seramai 22 anggota termasuk tiga pegawai bersama dua jentera dan masing-masing sebuah tanker dan EMRS digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi pemadaman sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 11.06 malam. 

Katanya, kebakaran dipadamkan sepenuhnya pada pukul 11.30 malam dan pihaknya masih menyiasat punca dan kerugian dialami mangsa.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Hanafiah Mat berkata, bantuan segera seperti pakaian, bantal dan sumbangan ihsan akan diberikan kepada mangsa di samping bantuan lain bagi meringankan beban mereka. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya