PASIR GUDANG: Sebanyak RM3.6 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri Johor bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di Lebuh Raya Pasir Gudang, sepanjang tahun ini bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna laluan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri berkata, malah perkara itu penting memandangkan lebuh raya berkenaan merupakan penghubung utama Johor Bahru dan Pasir Gudang.
“Selain kerja penyelenggaraan, syarikat konsensi juga melakukan kerja rutin seperti menampal lubang, memotong rumput dan membersihkan saluran longkang secara berkala.
“Sepanjang Oktober lalu, kita sudah melakukan 992 aktiviti menampal jalan yang dilakukan dalam masa sehari kemudian disusuli dengan 1,287 kerja-kerja yang sama yang dibuat dalam tempoh tiga hari,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan wang tunai kepada keluarga arwah Nurul Ain Md. Rasol, pembonceng motosikal yang maut dalam kemalangan di Kilometer 34 Lebuh raya Pasir Gudang, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6.45 petang itu, Nurul Ain, 27, terjatuh selepas motosikal diboncengnya melanggar lubang mengakibatkannya mengalami kecederaan parah di muka dan kepala sebelum disahkan maut di lokasi kejadian.
Sumbangan wang tunai tersebut daripada Selia Selenggara Selatan Sdn. Bhd. iaitu syarikat konsesi yang menyelenggarakan jalan persekutuan di seluruh Johor dan TETO Engineering Sdn. Bhd. yang menyelenggarakan jalan negeri.
Tambah Mohd. Solihan, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri akan memohon peruntukan khas pada tahun depan untuk membaiki struktur lebuh raya berkenaan bagi menjadikannya bertambah baik.
“Kerja menambah baik lebuh raya sepanjang 33 kilometer ini akan dilakukan di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti termasuk di lokasi kemalangan terbabit. Pihak konsesi sebelum ini melakukan tinjauan dua hari sekali melibatkan laluan berlubang untuk dibaiki dengan tindakan diambil dalam tempoh 24 jam.
“Namun saya akan meminta syarikat konsesi untuk meningkatkan jumlah rondaan mereka kepada setiap hari sekali,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE