RM2.96 juta untuk program Saringan Komuniti di kawasan zon merah  - Utusan Malaysia

RM2.96 juta untuk program Saringan Komuniti di kawasan zon merah 

Siti Mariah Mahmud
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak RM2.96 juta dibelanjakan kerajaan negeri dalam usaha membendung penularan Covid-19 melalui program Saringan Komuniti Covid-19. 

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita & Keluarga, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, pelaksanaan program saringan komuniti itu hanya tertumpu di kawasan zon merah dan melibatkan dua fasa saringan. 

“Pada fasa pertama, kos keseluruhan belanja adalah sebanyak RM1.6 juta melibatkan 5,433 saringan telah dijalankan. 

“Bagi fasa dua pula berjumlah RM1.36 juta dan akan diteruskan pelaksanaan sehingga tahun hadapan. Saringan fasa dua ini akan diteruskan dengan menyasarkan golongan-golongan berisiko seperti rakyat Selangor yang pulang dari Sabah dan sebagainya,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Dr. Daroyah Alwi dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini. 

Terdahulu, Daroyah bertanya berkenaan peruntukan kerajaan negeri bagi membendung penularan Covid-19 di Selangor. 

Mariah yang merupakan ADUN Seri Serdang berkata, bagi membendung penularan wabak di negeri ini juga, pihaknya turut memperuntukkan sebanyak RM5.8 juta untuk pelitup muka. 

“Pelitup muka ini diedarkan kepada pelajar-pelajar sekolah di seluruh Selangor, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) dan semua penjawat awam Selangor bagi mencegah penularan wabak.

“Selain itu, kerajaan negeri turut memberi sumbangan kit pembasmi Covid-19 kepada 854 taska berdaftar di negeri ini yang menelan belanja keseluruhan sebanyak RM690,000. Ini bagi memastikan kesemua taska berdaftar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh MKN,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri sentiasa membantu dan menyokong apa jua tindakan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya