SHAH ALAM: Rizab negeri bernilai RM1 bilion tidak hilang, sebaliknya digunakan sebagai peruntukan dalam melaksanakan beberapa projek infrastruktur.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, antara projek yang dilaksanakan adalah projek Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang dan Semenyih 2 yang bernilai RM700 juta dan jambatan ketiga Klang yang bernilai RM425 juta.
Menurutnya, pihaknya melakukan beberapa penjajaran (peruntukan dalam beberapa program) seperti program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) supaya program tersebut terus bertahan.
“Semua yang disebutkan ini ada dalam peruntukan kerajaan negeri dan dijajarkan semula bagi menyelesaikan beberapa masalah rakyat untuk tempoh jangka panjang demi keselesaan penduduk.
“Oleh demikian, rizab berkenaan bukan kurang pada pemerintahan kerana ketika saya mengambil alih jumlah rizab negeri tinggal RM2.1 bilion,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Amirudin hadir ke majlis perjanjian persefahaman (MoU) antara Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Bilik Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di sini hari ini.
Selasa lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd. Najwan Halimi meminta Amirudin menjelaskan kehilangan rizab negeri sebanyak RM1 bilion ketika membahas Belanjawan 2021 Selangor.
Mohd. Najwan ketika membahas perkara itu berkata, Selangor mempunyai rizab lebih RM3.3 bilion semasa bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim meninggalkan kerajaan negeri, namun kehilangan RM1 bilion sepanjang pemerintahan sebelum Amirudin.
Oleh demikian, katanya kerajaan negeri perlu memberi penjelasan berhubung kehilangan rizab itu.
Mengulas mengenai MoU, Amirudin berkata, PKPS dan FAMA akan bersama-sama meningkatkan kecekapan pengurusan bekalan serta rantaian pemasaran agro bagi jaminan keselamatan makanan di negeri ini.
“Pengalaman dan pengetahuan teknikal FAMA dalam mengendalikan kemudahan penyimpanan makanan atau pusat operasi menjadi teras kepada perkongsian strategik ini.
“PKPS dan FAMA juga akan memanfaatkan perkongsian data pasaran, pangkalan data pembekal, petani serta penggunaan rangkaian pemasaran termasuk pasaran antarabangsa,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE