PUTRAJAYA: Bagi merancakkan semula aktiviti di bawah sektor pelancongan domestik, kerajaan membenarkan pergerakan rentas daerah dalam negeri hijau tanpa perlu mendapat kebenaran pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pergerakan rentas negeri antara negeri hijau juga dibenarkan selain rentas negeri antara negeri hijau melalui negeri merah turut dibenarkan.
Turut dibenarkan, katanya, pergerakan rentas daerah atau negeri dari negeri hijau ke daerah hijau di negeri merah.
Menurut Ismail Sabri, kelonggaran gelembung perjalanan domestik itu berkuat kuasa Ahad ini dan perlu menggunakan aplikasi My Sejahtera bagi menentukan seseorang itu datang dari zon hijau.
“Prosedur operasi standard (SOP) terperinci akan diumumkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, kerajaan mewajibkan saringan ujian Covid-19 kepada kesemua pekerja asing yang berada di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Kuala Lumpur dan Labuan.
Katanya, setakat 31 Oktober lalu, terdapat seramai 1.6 juta pekerja asing aktif di seluruh negara terutama di negeri-negeri yang banyak kawasan perindustrian.
Beliau berkata, saringan kesihatan jenis RTK-Antigen perlu dilakukan bagi mengurangkan risiko keberjangkitan Covid-19 dalam kalangan mereka.
“Bagi pekerja asing yang mencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), kos ujian saringan ditanggung bersama pihak majikan dan pertubuhan itu, manakala yang tidak mencarum kos ditanggung sepenuhnya majikan.
“Subsidi bagi ujian saringan RTK-Antigen sebanyak RM60 boleh dituntut kepada Perkeso dan kos selebihnya dibayar oleh majikan,” katanya. – UTUSAN