HULU TERENGGANU: Seorang remaja perempuan ditemui mati dengan pergelangan tangan kirinya putus dipercayai dibunuh di rumahnya di Kampung Lubuk Batu, Kuala Telemong di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa Siti Nor Surya Ismail, 19, ditemui dalam keadaan tertiarap di ruang tamu kediaman setingkat tersebut dengan kesan kecederaan lain pada bahagian muka dan badan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Assisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, penemuan mayat mangsa disedari oleh adik bongsunya berusia 15 tahun yang baharu pulang dari sekolah kira-kira pukul 2.30 petang.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mangsa dipercayai dibunuh dengan senjata tajam.
“Motif kejadian masih lagi dalam siasatan tetapi polis tidak menolak kemungkinan suspek merupakan individu yang dikenali keluarga mangsa atau si mati.
“Berdasarkan kejadian kita dapati ia mungkin dilakukan secara berseorangan dan polis sedang giat mengesan suspek,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurut Mohd. Marzukhi, barangan milik mangsa termasuk wang bernilai ratusan ringgit di samping dua telefon bimbit dan bag turut lesap berkemungkinan dirompak.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, bapa mangsa, Ismail Muda, 58, berkata, semasa kejadian dia bersama tiga anak lain tiada di rumah kerana bekerja di samping bersekolah manakala mangsa yang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik tinggal berdua bersama isterinya yang sakit terlantar dan lumpuh akibat kanser otak.
Katanya, dia bergegas pulang ke rumah selepas menerima panggilan daripada anak bongsu yang memaklumkan mangsa tertiarap berlumuran darah di ruang tamu .
“Kebiasannya dia yang mengambil adiknya pulang dari sekolah tetapi hari ini anak bongsu pulang berjalan kaki kerana kakaknya tiada.
“Semasa keluar bekerja pukul 7 pagi tadi saya tidak sempat berjumpa dengan mangsa mungkin dia masih tidur,” katanya yang bekerja memandu lori. – UTUSAN ONLINE