Rayu kurangkan kadar sewa - Utusan Malaysia

Rayu kurangkan kadar sewa

Taman Tema Air Asahan di Laman Tiga Budaya, Melaka sepi tanpa pengunjung sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini .- UTUSAN/ AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Pengendali Taman Tema Air Asahan di Laman Tiga Budaya di sini merayu Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) mengurangkan kadar sewa berikutan kerugian yang ditanggung sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Eksekutif Operasinya, Haziq Nasir berkata, sejak PKPB dikuatkuasakan pada 9 November lalu, taman itu terpaksa ditutup selain terpaksa membatalkan banyak tempahan yang diterima dari luar Melaka.

Menurutnya, situasi yang sama dihadapi apabila kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu hingga memaksa taman tema yang terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar Melaka itu ditutup selama tiga bulan.

“Justeru, kali ini saya mengharapkan kadar sewaan Taman Tema Air Asahan dapat dikurangkan kerana sewaktu ditutup tiga bulan semasa PKP lalu, MPJ tidak memberi kelonggaran langsung.

“Ketika itu kami mengalami kerugian hampir RM200,000 dan PKPB ini kami turut mengalami kerugian kerana taman ini terpaksa ditutup sebulan lagi,” ujarnya ketika ditemui di taman tema tersebut di sini, semalam.

Haziq berkata, jika MPJ dapat mengurangkan kadar sewa, ia sekali gus dapat meringankan beban yang ditanggung, apatah lagi mereka juga terpaksa membayar gaji kira-kira 10 pekerja, bayaran utiliti dan kos menyelenggara taman tema tersebut.

Di samping itu, ujar Haziq, beliau turut mengharapkan Belanjawan 2021 bagi negeri Melaka yang akan dibentangkan awal bulan depan dapat memberi peruntukan untuk membantu pemain industri pelancongan di negeri ini.

“Sejak penularan Covid-19, operasi taman tema ini sangat terkesan. Tetapi, selagi mampu bertahan kami akan teruskan dan kalau mendapat sokongan daripada MPJ dan kerajaan negeri lebih baik lagi agar sektor pelancongan di negeri ini terus berkembang,” ujarnya lagi.

Taman Tema Air Asahan dibina oleh kerajaan negeri dan diuruskan oleh MPJ terletak di Laman Tiga Budaya yang bersempadan dengan tiga negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya