PASIR MAS: Sebuah pusat kuarantin Covid-19 akan dibuka di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Kelantan bagi menempatkan mangsa banjir yang mempunyai gejala pandemik Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, turut ditempatkan di situ adalah mangsa-mangsa banjir yang datang dari zon merah.
Kata beliau, pusat kuarantin tersebut terletak di lokasi berasingan dengan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk mangsa banjir lain bagi memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan.
“Mangsa banjir yang datang dari kawasan zon merah atau mempunyai gejala akan disaring telebih dahulu. Jika positif kita akan rujuk ke pusat rawatan Covid-19 untuk tindakan lanjut.
“Kalau negatif, individu terlibat akan ditempatkan di pusat kuarantin selama 14 hari mengikut prosedur operasi standard (SOP),” katanya.
Terdahulu, beliau turun padang meninjau persiapan PPS dan SOP Banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Lati, di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zaini Husin.
Mengulas lanjut, Dr. Izani mengingatkan mangsa banjir supaya tidak menipu atau cuba berselindung jika mereka mempunyai gejala atau masalah kesihatan.
Katanya, maklumat awal itu akan memudahkan tugas pasukan perubatan membuat pemantauan.
“Disebabkan pandemik ini kita terpaksa kecilkan kapasiti setiap PPS daripada 1,000 orang kepada 500 orang bagi memastikan SOP berkaitan pencegahan Covid-19 dipatuhi sepenuhnya.
“Untuk maklumat sebanyak 539 PPS akan beroperasi sepanjang banjir tahun ini. Daripada jumlah itu 336 PPS adalah sekolah-sekolah,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE