Pukul adik dengan kerusi kerana tidak dapat wang beli arak  - Utusan Malaysia

Pukul adik dengan kerusi kerana tidak dapat wang beli arak 

NOORZAINY MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Berang kerana gagal mendapatkan duit untuk membeli arak, penganggur berusia 34 tahun bertindak di luar kawalan apabila memukul adiknya dengan kerusi plastik hingga cedera.

Malah, lelaki berkenaan turut menghamburkan kata-kata lucah kepada ibu bapanya selepas permintaannya untuk mendapatkan wang tidak diendahkan dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Desa Murni, di sini semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, kejadian kira-kira pukul 6 petang itu bermula selepas adik suspek berusia 31 tahun menegur sikapnya yang mendesak ibu mereka memberikan wang.

“Kerana marah ditegur dan gagal mendapatkan wang, suspek memukul adiknya itu dengan kerusi plastik sehingga cedera pada lengan kiri dan jari kanan.

“Kejadian itu bagaimanapun dileraikan selepas bapa mangsa bergegas ke balai polis bagi mendapatkan bantuan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Noorzainy berkata, suspek yang berjaya dicekup itu baru sahaja dibebaskan dari penjara Oktober lalu dan mempunyai beberapa rekod jenayah.

Ujarnya, siasatan mendapati suspek kerap mengamuk setiap kali meminta wang daripada ibu bapanya untuk membeli minuman keras.

“Namun, ketika kejadian kebetulan adiknya yang tidak tinggal bersama datang melawat dan menegur sikap suspek sehingga menyebabkan lelaki itu berang,” katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan reman selama empat hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya