Proton Wira Aeroback dilarikan 186KM - Utusan Malaysia

Proton Wira Aeroback dilarikan 186KM

Kereta Proton Wira Aeroback yang hilang tidak sampai 24 jam ditemukan semula.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Tidak sampai 24 jam, kereta jenis Proton Wira Aeroback yang dilarikan penjenayah di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Pulau Sebang, dekat sini semalam, ditemui semula di susur keluar Tol Sedenak, Kulai, Johor, awal pagi tadi.

Pekerja swasta, Muhd. Ihsan Hashim, 31, berkata, dia menyedari keretanya itu hilang semasa waktu rehat kerjanya iaitu sekitar pukul 6.30 petang dan segera membuat laporan di Balai Polis Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka.

Menurutnya, dia tidak menyangka rezekinya masih ada apabila kereta yang berusia lebih 20 tahun itu telah ditemui dalam tempoh kurang 12 jam pencarian menggunakan media sosial.

“Saya dah guna kereta itu dua tahun, sebelum ini kereta milik abang dan sudahpun berusia lebih 20 tahun. Bila hilang saya sangat terkejut dan segera meminta bantuan isteri membuat hebahan melalui Facebook bagi membolehkan orang ramai membantu menyalurkan maklumat mengenai kehilangan kereta berkenaan.

“Kira-kira pukul 4 pagi, saya menyemak telefon dan mendapati terdapat panggilan dari seorang anggota polis yang bertanyakan mengenai kehilangan kereta saya ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Muhd. Ihsan berkata, anggota berkenaan memaklumkan keretanya ditemui dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan susur keluar Tol Sedenak.

Menurutnya, anggota berkenaan telah menjalankan sekatan jalan raya sempena Op Covid-19 di susur keluar tol berkenaan.

“Kereta itu ditinggalkan di lokasi berkenaan dan hasil pemeriksaan polis, keadaan dalam kereta saya berselerak dan di bahagian kunci kereta juga telah dirosakkan.

“Walaupun kehilangan telefon bimbit dan juga dompet yang diletakkan di dalam kereta, saya berasa sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua kerana kereta yang digunakan untuk berulang alik ke tempat kerja dari Semerbuk (Rembau) ke Pulau Sebang ini dijumpai semula,” katanya.

Ujarnya lagi, dia pernah kehilangan sebuah motosikal jenis Honda EX5 dua tahun lalu dan sehingga kini motosikal berkenaan masih belum ditemui.

“Dalam kejadian ini, anggota berkenaan telah membuat semakan dan mendapati terdapat tular mengenai kehilangan kereta saya ini di laman sosial Facebook,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya