Projek pembangunan diterus percepat pemulihan ekonomi - Utusan Malaysia

Projek pembangunan diterus percepat pemulihan ekonomi

MUSTAPA Mohamed
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneruskan perbelanjaan bagi pembangunan selain mempertingkatkan pelaburan awam dalam usaha merangsang momentum kadar pertumbuhan ekonomi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dalam suasana kemelesetan ekonomi ketika ini, pelaburan awam memainkan peranan lebih besar.

“Sehubungan itu, saya dan Ketua Setiausaha Negara akan mempengerusikan satu mesyuarat dalam masa terdekat untuk membincangkan pelan pelaksanaan perbelanjaan pembangunan.

“Ini bagi memastikan segala projek bagi tahun 2020 melalui peruntukan sebanyak RM64.96 bilion itu dapat dilaksanakan dengan sepenuhnya,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Mesyuarat itu jelasnya, bakal disertai wakil Kementerian Kewangan, Kementerian Kerja Raya, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri dan beberapa kementerian lain.

Mereka akan bincang pelan pelaksanaan dan pemantauan projek pembangunan bagi 2021 kerana setakat 8 November lalu, 80.6 peratus daripada perbelanjaan 2020 telah pun digunakan.

Kerajaan ujarnya, melalui Belanjawan 2021 memperuntukan RM69 bilion bagi pelaksanaan pelbagai projek sepanjang tahun depan yang memberi kesan pengganda besar kepada ekonomi.

“Kebanyakan untuk projek komited dan sambungan seperti pembinaan hospital, sekolah, jalan raya serta menaik taraf prasarana awam yang perlu diteruskan pelaksanaan,” tegas Mustapa.

Projek fizikal bersaiz kecil dan sederhana penting bagi menjana aktiviti ekonomi peniaga kecil seperti kedai perkakasan dan berkaitan khususnya kawasan luar bandar dan pinggir bandar.

Bahkan kata beliau, di bawah pakej Prihatin tahun ini, kerajaan menyediakan RM4 bilion untuk projek dilakukan kontraktor kelas G1 dan G2 serta RM2.5 bilion menerusi Belanjawan 2021.

Ini memanfaatkan 54,000 kontraktor kelas G1 dan 24,000 lagi kelas G2 seluruh negara kerana pelaburan awam dilaksanakan merupakan alat dasar kitaran balas penting dalam ekonomi.

“Walaupun ekonomi menunjukkan pemulihan, keadaan masih jauh daripada situasi sebelum krisis kerana vaksin Covid-19 belum ada dan sempadan negara masih ditutup,” jelas Mustapa.

Justeru katanya, dalam menjalani kehidupan norma baharu bersama wabak Covid-19, kita perlu terus mencari jalan yang kreatif demi memastikan kelangsungan ekonomi tidak terjejas. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN