PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia memaklumkan jadual untuk program saringan Covid-19 bagi pekerja asing di kawasan berisiko tinggi yang akan bermula 1 Disember ini.
Menurut menterinya, Datuk Seri M. Saravanan, ujian secara berkala itu terlebih dahulu hanya melibatkan Daerah Klang, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan mulai tarikh berkenaan.
“Ini akan diikuti pula daerah lain dalam zon merah di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang bermula 9 Disember,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Peringkat ketiga ujarnya, membabitkan Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan daerah lain yang bukan zon merah di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan mulai 16 Disember.
Saravanan memberitahu, ia susulan pengumuman dibuat Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media semalam untuk pelaksanaan program tersebut.
Justeru, kementerian itu bakal melaksanakan secara bersasar berdasarkan lokaliti yang ada kepadatan tinggi pekerja asing dan dilakukan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Ia juga melibatkan kerjasama pelbagai klinik dan hospital swasta dengan hanya kaedah RTK Antigen yang diluluskan Kementerian Kesihatan dan kit ujian dibiayai Perkeso,” tegas beliau.
Majikan jelasnya, cuma perlu membiayai kos perkhidmatan dikenakan klinik atau hospital dan bagi pekerja asing bukan pencarum Perkeso, kos saringan itu ditanggung oleh pihak majikan.
Program itu merupakan kolaborasi antara agensi kerajaan dan swasta bagi memastikan ia dilaksanakan secara menyeluruh meliputi pemantauan dan pengurusan kes selepas ujian.
“Usaha ini akan dikuat kuasakan oleh pihak kementerian di bawah Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 bagi cegah penularan Covid-19,” kata Saravanan.
Maklumat lanjut akan dikemas kini melalui portal https://psp.perkeso.gov.my manakala sebarang pertanyaan boleh diaju ke e-mel [email protected] atau talian 1-300-22-800 atau 03-4264 5089.-UTUSAN ONLINE