Polis tumpaskan sindiket dadah dari Laos dalam lapan serbuan di Pulau Pinang, Kedah - Utusan Malaysia

Polis tumpaskan sindiket dadah dari Laos dalam lapan serbuan di Pulau Pinang, Kedah

RAZARUDIN Husain (depan, empat dari kanan) menunjukkan dadah jenis ganja yang dirampas dalam operasi di Kedah dan Pulau Pinang, Jumaat lalu dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Polis menumpaskan sindiket penyeludupan dadah dari Laos dengan merampas ganja seberat 865.7 kilogram bernilai RM2.16 juta dalam lapan serbuan berasingan di negeri ini dan Kedah, Jumaat lalu.

Dalam operasi bermula pukul 12.15 tengah malam hingga 6.30 pagi itu, polis berjaya menahan dalang utama sindiket berkenaan berusia 56 tahun di sebuah premis di Jitra, Kedah.

Selain itu, 11 suspek lain yang bekerja sebagai mekanik bot, nelayan dan penjaga bengkel membaiki bot iaitu lapan lelaki warga tempatan, tiga lelaki warga Bangladesh serta seorang wanita warga Laos berusia berusia 22 hingga 58 tahun turut ditahan di beberapa lokasi berasingan.

Difahamkan, wanita Laos berusia 40-an itu yang ditahan di Bedong, Kedah bertindak sebagai perantara kepada sindiket berkenaan dengan pembekal dadah itu dari negara jiran.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, menerusi serbuan pertama, polis menangkap dua lelaki tempatan di dalam sebuah kereta di Sungai Nibong, di sini.

“Di dalam kereta tersebut, polis menjumpai 250 ketulan mampat dipercayai ganja yang dalam perjalanan untuk diedarkan kepada pelanggan tetap sindiket berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini semalam.

Menurut beliau, susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah bengkel membaiki bot di Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan kira-kira pukul 1 pagi dan menjumpai 622 ketulan dadah dipercayai ganja di dalam sebuah bot jenis fiber sepanjang 10 meter.

Katanya, dalam serbuan itu juga, polis  menahan tiga lelaki warga Bangladesh dipercayai bertindak sebagai penjaga kepada dadah-dadah yang disimpan di dalam bot berkenaan.

“Bekalan dadah ini dipercayai dibawa masuk dari Laos melalui Thailand menggunakan jalan laut dan jalan darat.

“Penutupan pintu sempadan Malaysia-Thailand juga menyebabkan sindiket mengalih modus operandi penyeludupan dengan menggunakan jalan laut,” katanya.

Tambah beliau, dalam operasi itu, polis turut menyita enam buah kenderaan iaitu kereta jenis Isuzu Dmax, Perodua Myvi, Honda City, Toyota Camry, Proton Waja, BMW dan bot fiber yang dimiliki anggota sindiket berkenaan.

”Turut disita ialah wang tunai berjumlah RM752 dan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan aset membabitkan sindiket ini ialah RM2.44 juta,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, sindiket tersebut dipercayai aktif sejak awal tahun ini dan dadah tersebut dianggarkan untuk kegunaan seramai 2.88 juta orang.

“Hasil siasatan mendapati empat daripada ahli sindiket berkenaan turut positif dadah manakala tiga lagi mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dah dadah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN