Polis nafi dakwaan kes jenayah meningkat - Utusan Malaysia

Polis nafi dakwaan kes jenayah meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan kes jenayah di negara ini semakin meningkat kerana ramai individu hilang pekerjaan ketika pandemik Covid-19.

Dakwaan tersebut sama sekali tidak benar, sebaliknya statistik menunjukkan kes jenayah di negara ini menurun sebanyak 23 peratus sejak Januari hingga 15 November lalu.

Dalam tempoh sama juga, sebanyak 56,117 kes jenayah yang dilaporkan iaitu penurunan sebanyak 23 peratus berbanding 72,836 dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, bagi jenayah ragut pula sebanyak 1,160 kes dilaporkan dalam tempoh sama berbanding sebanyak 2,216 kes dicatakan tahun sebelumnya.

Katanya, ini menunjukkan penurunan sebanyak 1,056 kes iaitu 47,65 peratus dan 527 suspek berjaya ditahan kerana terbabit dalam jenayah ragut.

“Turun dari tahun sebelumnya apabila sebanyak 893 individu ditahan kerana melakukan jenayah ragut.

“Berpandukan statistik berkenaan dakwaan kes jenayah di Malaysia meningkat disebabkan ramai orang kehilangan pekerjaan adalah tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Huzir memberitahu, pihaknya mengambil maklum wujud kerisauan dalam kalangan masyarakat mengenai kemungkinan berlaku peningkatan kes jenayah akibat Covid-19 berikutan ramai orang akan hilang pekerjaan.

“Masyarakat menjadi bertambah gusar apabila wujud perkongsian yang ditularkan individu menerusi satu video di platform media sosial.

“Walaupun statistik menunjukkan penurunan kes, pihak polis akan sentiasa memastikan trend jenayah terus menurun dengan mengambil tindakan yang lebih komprehensif,” katanya.

Dalam pada itu, Huzir turut mengingatkan orang awam supaya tidak sewenang-wenangnya membuat, berkongsi atau menularkan sebarang berita atau gambaran salah berkenaan trend jenayah yang tidak disokong fakta sahih daripada pihak berkuasa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN