LANGKAWI: Pasukan Polis Marin (PPM) Langkawi menahan sembilan nelayan dan merampas tiga bot pukat tunda kerana melanggar syarat lesen tangkapan di kawasan perairan Langkawi semalam.
Menurut Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Satu Langkawi, Deputi Superintenden Rohizan Mohamad Saaid berkata, bot-bot tersebut ditahan di sekitar perairan berhampiran lapan batu nautika pulau Tuba pada pukul 2.30 petang.
Menurutnya, ketiga-tiga bot pukat tunda yang dirampas itu bernilai kira-kira RM90,000.
“Sembilan orang nelayan warganegara tempatan berusia daripada 20 hingga 40 tahun telah ditahan dalam operasi itu,” katanya di sini hari ini.
Beliau menambah, pemeriksaan juga mendapati bot tersebut memiliki peralatan radio komunikasi yang tidak mempunyai sijil sah daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Pemeriksaan lanjut mendapati mendapati ketiga-tiga bot tersebut telah melanggar syarat dalam lesen di bawah Seksyen (8) Akta Perikanan 1985,” ujarnya.
Tambahnya, kesemua rampasan dan tahanan dibawa ke Pangkalan PPM Bukit Malut di sini dan diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk siasatan lanjut. – UTUSAN