Polis cari dua individu berkaitan rakaman kes dera wanita - Utusan Malaysia

Polis cari dua individu berkaitan rakaman kes dera wanita

NOR Omar Sappi (kiri) menunjukkan gambar individu yang dicari bagi membantu siasatan kes dera pada sidang media di IPD Manjung, Lumut, Perak hari ini. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Polis meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan dua individu yang melakukan penderaan terhadap seorang wanita yang mana video kejadian itu tular dalam media sosial kelmarin.

Dalam video berdurasi dua minit dan enam saat itu, kelihatan seorang wanita ditampar pada  bahagian badan dan  muka manakala tapak kakinya dicucuh dengan colok.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata siasatan awal mengesyaki kejadian itu berlaku di dalam sebuah rumah di Taman Mas, Kampung Koh, Sitiawan dekat sini.

“Berikutan daripada insiden tersebut, satu laporan polis telah dibuat oleh seorang lelaki orang awam di Kuantan, Pahang.

“Kertas siasatan telah dibuka dan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya, polis sedang mengesan dua individu yang dipercayai boleh membantu siasatan kes tersebut.

Beliau berkata, individu itu ialah seorang lelaki, Lau Kah Wai, nombor Mykad 980930-56-5825 yang beralamat di No 30, PT 1130, Simpang Empat Jalan Bagan Datuk, Taman Melintang Ria, Hutan Melintang, Bagan Datuk, Perak.

Katanya, seorang lagi ialah wanita bernama Cheah Zi Ying, nombor Mykad 010629-10-1714 beralamat di 492A, Lorong 8, Sungai Garden, Jalan Tanjung Batu, Bintulu, Sarawak.

Nor Omar meminta kedua-dua mereka tampil ke IPD Manjung atau mana-mana balai polis terdekat untuk membantu siasatan manakala orang ramai yang mempunyai naklumat mengenai kejadian itu atau kedua-dua individu itu diminta menghubungi Inspektor Muhammad Sollehuddin Rahmat di talian 013-7908995.

Menurutnya, polis sudah pergi ke rumah yang dikatakan berlaku kejadian itu tetapi tidak berpenghuni.

Katanya, berdasarkan keterangan jiran mendapati kedua-dua individu tinggal di rumah tersebut tetapi sudah tidak kembali ke situ sejak beberapa hari lalu.

“Polis masih menyiasat punca kejadian, identiti mangsa serta hubungan antara ketiga-tiga mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya