PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meninjau lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) di Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang bagi melihat sendiri proses ujian saringan Covid-19 ke atas penduduk di situ.
Perdana Menteri diberikan taklimat oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman mengenai latar belakang kawasan yang menempatkan pelbagai premis perniagaan itu dan bagaimana perintah tersebut diputuskan untuk dilaksanakan.
Menurut Perdana Menteri, daripada taklimat tersebut, Temco dibuat selepas 113 individu yang mana sebahagian besarnya dari Sabah disahkan positif selepas saringan dilaksanakan bermula awal Oktober lalu.
“Kadar positif juga tinggi, iaitu 35.4 peratus. Dianggarkan sekitar 500 penghuni mendiami kawasan tersebut.
“Medan 88 menempatkan 88 unit kedai tiga tingkat, 284 unit rumah dengan majoriti tingkat atas premis dijadikan bilik sewa dan dihuni oleh individu dari Sabah serta warga asing yang sebahagian besarnya bekerja di kawasan perindustrian di sekitar Sepang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Perdana Menteri turut meneliti proses saringan yang dilaksanakan pasukan kesihatan dan keselamatan yang bertugas dan menghargai dedikasi mereka.
Kata beliau, laluan masuk di sekitar kawasan tersebut mula ditutup pasukan keselamatan bermula petang semalam dan seluruh kawasan perniagaan itu dipagari dengan kawat berduri.
Perdana Menteri yang turut memakai sut perlindungan peribadi (PPE) sebagai syarat wajib sebelum memasuki kawasan Temco, meninjau salah satu khemah yang dijadikan sebagai tempat ujian saringan Covid-19 dan dikategorikan sebagai zon merah.
“Dari khemah taklimat yang didirikan di tepi jalan utama, iaitu di luar kawasan berpagar saya berjalan melintasi deretan kedai dan laluan antara bangunan sebelum tiba di khemah ujian Covid-19 yang terletak kira-kira 100 meter.
“Beberapa premis perniagaan dilihat tidak beroperasi manakala sebahagian besar dibuka seperti biasa. Saya dapat melihat penghuni sedang berbaris menjalani ujian dan semua dalam keadaan teratur,” katanya.
Perdana Menteri turut tertarik dengan khidmat Jabatan Penerangan yang menguar-uarkan langkah yang perlu diambil penghuni seperti bila perlu turun serta apa yang perlu dibawa yang dihebahkan melalui pembesar suara van jabatan itu.
Langkah itu, katanya, dilihat amat membantu dalam usaha pihak kesihatan dan keselamatan memastikan proses saringan berjalan lancar dalam keadaan jumlah kehadiran ramai.
Pasukan kesihatan pula jelas Perdana Menteri banyak berinteraksi dan memberi penerangan selain menenangkan individu yang sebahagian besarnya pertama kali menjalani ujian saringan itu.
“Pada saya, bukan satu tugas mudah untuk mententeramkan perasaan individu yang diambil ujian saringan, apatah lagi kepada mereka yang berada di lokasi yang dikategorikan sebagai zon merah. Syabas saya ucapkan!
“Saya juga sempat bertanya khabar dengan seorang remaja lelaki dari Johor yang sedang menunggu untuk menjalani ujian saringan dan memaklumkan ini pengalaman pertamanya dan gementar kerana perlu menahan sakit dan bimbang kalau-kalau dijangkiti virus itu,” katanya.
Bagaimanapun, Muhyiddin sempat memberitahu bahawa itu merupakan proses biasa yang perlu dilalui setiap mereka yang berada di kawasan Temco sekali gus mendoakan agar remaja itu dan mereka yang lain dijauhi daripada wabak tersebut.
Muhyiddin menjelaskan, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengambil langkah awal dengan menyediakan 500 bakul makanan untuk diedarkan kepada mereka yang memerlukan.
Katanya, langkah itu akan membantu mengurangkan kegusaran penduduk yang bimbang mengenai bekalan makanan walaupun premis perniagaan di Medan 88 dibuka seperti biasa dan mereka bebas bergerak di dalam kawasan berpagar itu. -UTUSAN ONLINE