PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan jemaah menteri menyertai aktiviti berselawat sempena program Semarak Cinta Rasul di sini malam ini.
Program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu merupakan acara kemuncak bagi sambutan Maulidul Rasul SAW 1442H / 2020M yang diadakan secara langsung melalui Facebook @Muhyiddin Yassin dan page rasmi @Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Selawat dipimpin oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Dr. Lokman Abdullah bermula pukul 7.20 malam bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Program Semarak Cinta Rasul merupakan inisiatif norma baharu menjaga kemaslahatan rakyat dalam usaha membendung pandemik Covid-19.
Ia bertujuan meneruskan usaha menyantuni masyarakat dalam memperingati detik bersejarah kelahiran Nabi Muhammad SAW, sekali gus menghayati sirah dan sunah baginda. – UTUSAN ONLINE