PlanMalaysia bakal wujud Sistem Pemetaan Digital - Utusan Malaysia

PlanMalaysia bakal wujud Sistem Pemetaan Digital

PlanMalaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia (PlanMalaysia) dijangka mewujudkan Sistem Pemetaan Digital dan julung kali dibuat bersepadu untuk seluruh negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, ia antara empat perkara digariskan beliau terhadap jabatan itu untuk perancangan guna tanah di Malaysia.

“Dengan sistem canggih ini, rakyat akan tahu apakah pembangunan bakal berlaku dan sudah dirancang di tempat mereka mengikut garis masa tahun dan dekad akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Kebangsaan 2020 dibuat secara maya dari Palm Garden Golf Club di sini hari ini.

Turut hadir pada acara tersebut ialah Ketua Pengarah PlanMalaysia baharu, Dr. Shamsaini Shamsuddin yang secara kebetulan baru sahaja dilantik ke jawatan berkenaan semalam.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, sistem peta futuristik itu sejajar dengan usia agensi tersebut yang genap 100 tahun penubuhannya setelah diwujudkan penjajah British pada 1921.

“Dengan umur satu abad pada September tahun depan, PlanMalaysia perlu bersedia menjadi tonggak aktiviti perancangan tanah yang hasilnya dapat dinikmati rakyat,” tegas beliau.

Terdahulu, beliau menggariskan sasaran pertama agar agensi itu ada kuasa dalam aspek penentuan guna tanah berbanding sekarang diputuskan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Keadaan ketika ini ujarnya, menyebabkan apa yang sudah ‘cantik’ dirancang PlanMalaysia, namun tiba-tiba PBT pula bebas mengubahnya dengan ada tanpa merujuk agensi tersebut.

“Saya faham PlanMalaysia mahu keadaan macam ini tetapi PBT pula tukar begini, justeru saya berharap jabatan ini akan lebih tegas menggunakan kuasa sepenuhnya,” kata beliau.

Zuraida turut menggariskan perkara kedua perlu dilakukan PlanMalaysia iaitu pendigitalan kawasan selaras dengan ketetapan diputuskan oleh Majlis Pembangunan Fizikal Negara.

“Ia perlu ada kesalinghubungan malah kena jadi utiliti keempat penting selepas bekalan elektrik, air dan telekomunikasi terutama di kawasan projek pembangunan baharu,” jelasnya.

Sebagai contoh tambah beliau, penetapan kawasan pertanian makanan seperti sawah padi apabila dimajukan untuk tujuan lain, sepatutnya wajar ada penggantian kepada lokasi lain.

Sementara perkara terakhir digariskan Zuraida, ialah PlanMalaysia merancang kemajuan luar bandar setanding dengan corak pembangunan fizikal bandar antaranya seperti desa pintar.

“Ini juga dapat lonjak tahap ekonomi penduduk kampung untuk menikmati arus kemajuan seperti di kawasan perbandaran dan tidak perlu berhijrah ke tempat lain,” katanya lagi.   -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya