PKPB, penduduk diingatkan bertenang - Utusan Malaysia

PKPB, penduduk diingatkan bertenang

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Penduduk di Mukim 12, daerah Barat Daya yang terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dinasihatkan bertenang dan menunggu makluman selanjutnya daripada pihak berkuasa berhubung pelaksanaan perintah berkenaan.

Dalam masa sama, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow turut berharap orang ramai tidak menularkan maklumat tidak sahih berkaitan dengan perintah berkenaan.

“Orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Jangan sesekali tularkan maklumat-maklumat yang bukan daripada sumber sahih sehingga mencetuskan situasi panik yang tidak sepatutnya dan semua pihak  diseru supaya terus bersama-sama kerajaan negeri dalam memenangi pertempuran melawan Covid-19 ini,” katanya di sini semalam.

Kelmarin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan Mukim 12 di Daerah Barat Daya dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 6 hingga 19 November ini.

Setakat kelmarin, daerah Barat Daya mencatatkan sebanyak 51 kes positif Covid-19 termasuk membabitkan Kluster Bayan dan menjadikan daerah itu sebagai zon merah berikutan mempunyai kes aktif melebihi 41.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee berkata, semua jurulatih sukan negeri dan atlet-atlet negeri yang menetap di Mukim 12 diwajibkan mematuhi arahan dikeluarkan dan dikecualikan daripada menjalani latihan persediaan Sukan Malaysia dalam tempoh dinyatakan.

Tambahnya,  aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak bersentuhan fizikal dan dijalankan secara individu tidak melebihi 10 orang seperti Esports, berjalan, berjogging, berbasikal, senam robik kendiri dan lain-lain di kawasan terbuka dibenarkan.

“Aktiviti di kawasan tertutup (indoor), aktiviti kolam renang, aktiviti bersentuhan fizikal, aktiviti perlawanan bagi sukan berpasukan dan aktiviti penganjuran kejohanan atau pertandingan adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Ujarnya, penggiat sukan dan rekreasi termasuk pemilik dan operator fasiliti seperti padang bola sepak, kompleks sukan, dewan badminton, gimnasium, kolam renang, pusat rekreasi dan sebagainya dalam negeri dan kawasan PKPB perlu menangguh dan menjadualkan semula semua aktiviti sukan dan rekreasi masing-masing. 

“Operasi fasiliti sukan dan rekreasi juga hendaklah ditutup secara sementara sepanjang tempoh PKPB ini.

“Bagi daerah atau mukim lain, program serta acara sukan dan rekreasi boleh diteruskan dengan mematuhi SOP yang sedang berkuat kuasa,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya