PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Labuan dilanjutkan bermula esok sehingga 6 Disember ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelanjutan perintah itu berikutan masih terdapat pertambahan 35 kes baharu yang menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di wilayah itu sebanyak 1,135 kes.
“PKPB ini masih perlu dilaksanakan bagi mengekang penularan dan memberi ruang kepada petugas kesihatan untuk melaksanakan Active Case Detection di kawasan-kawasan bersasar yang dikenal pasti berisiko tinggi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Ismail Sabri memberitahu, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) di Kg. Haji Baki, Kuching, Sarawak ditamatkan.
Katanya, ia berikutan kesemua keputusan ujian saringan makmal telah diperoleh setakat semalam dan tiada lagi kes positif baharu dikesan sejak tujuh hari lalu.
Dalam pada itu, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 379 individu atas kesalahan ingkar arahan porsedur operasi standard (SOP) dengan 370 individu daripadanya dikompaun manakala sembilan direman.
Katanya, antara kesalahan ingkar SOP itu ialah tidak memakai pelitup muka (103), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (88), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (65), rentas daerah atau negeri PKPB tanpa kebenaran (42), aktiviti pusat hiburan (25), dan lain-lain kesalahan (56).
“Sebanyak 2,963 Pasukan Task Force Operasi Pematuhan terdiri daripada 13,551 anggota melakukan 59,626 pemeriksaan.
“Operasi Benteng pula berjaya menahan 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang tekong serta merampas lapan kenderaan darat dalam operasi yang diadakan di seluruh negara melalui 250 sekatan jalan raya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, pihak berkuasa akan meningkatkan sekatan jalan raya sempena sambutan Deepavali esok sama seperti Aidilfitri lalu.
Katanya, PDRM akan melaksanakan rondaan di kawasan perumahan untuk memastikan setiap masyarakat mematuhi SOP ditetapkan.
“Bagi penduduk di kawasan yang dikenakan Temco mereka tidak boleh keluar dari rumah dan sambutan hanya dalam ahli keluarga sahaja.
“Bagi negeri-negeri yang dikenakan PKPB, ingin saya ingatkan disini bahawa sambutan perlulah tidak melebihi 20 orang pada satu-satu masa dalam kalangan ahli keluarga,” katanya.
Bagi yang menghadiri upacara sembahyang di kuil pula katanya, diingatkan supaya sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu 30 orang dalam satu-satu masa mengikut keluasan kuil dengan mematuhi penjarakan fizikal, upacara sembahyang dibahagikan kepada lima sesi dan bermula dari pukul 7.00 pagi sehingga 12.00 tengahari)
“Saya juga dimaklumkan laporan semasa aliran trafik menjelang Deepavali masih terkawal dan tiada kesesakan luar biasa dikesan setakat hari ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE