PKPB 'bunuh' industri teksi - Utusan Malaysia

PKPB ‘bunuh’ industri teksi

Kementerian Pengangkutan diminta tidak terus melupakan nasib pemandu teksi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini bukan sahaja memberi kesan kepada perniagaan kecil malah kepada para pemandu teksi apabila pergerakan rakyat terbatas dan menyebabkan kurang permintaan terhadap perkhidmatan tersebut.

Rata-rata pemandu teksi yang ditemui Utusan Malaysia di Larkin Sentral di sini menyifatkan PKPB sekali lagi ‘menutup’ periuk nasi mereka sehingga terpaksa mengikat perut kerana kekangan kewangan.

Menurut pemandu teksi, Zulkifli Zainuddin, 59, situasi sukar itu telah banyak mempengaruhi jumlah pelanggan dan mereka tidak boleh keluar ke mana-mana susulan pelaksanaan PKPB bermula hari ini.

“Jika sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hanya dapat sekali sahaja pelanggan, apatah lagi PKPB. Mungkin tiada langsung pelanggan.

“Kadang-kala tunggu sejak pukul 5 pagi, waktu tengah hari baru dapat pelanggan, itu pun sekali sahaja. Kalau tidak bernasib baik, tiada langsung,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Setiausaha Koperasi Pemandu Teksi Wilayah Iskandar (Kasturi), Abdul Rahman Kiri berkata, pemandu teksi baharu sahaja sedikit dapat bernafas setelah pembukaan operasi perniagaan sejak Jun lalu namun kini bimbang kerana pelaksanaan PKPB yang membataskan pergerakan rentas daerah dan negeri.

Katanya, jumlah penumpang telah meningkat pada bulan Ogos dan September sebaliknya menurun semula pada bulan lalu memandangkan berlakunya gelombang ketiga Covid-19 khususnya di Johor Bahru.

“Terdapat banyak faktor masalah ini berlaku antaranya penutupan sempadan Malaysia dan Singapura serta penumpang tidak boleh gerak ke mana-mana.

“Jadi kami mengharapkan kerajaan untuk memberikan bantuan bulanan kepada pemandu teksi sepanjang PKPB yang sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kami,” katanya.

Dia menambah, pemandu teksi bukan sahaja perlu membayar sewa teksi dan pinjaman bank, malah juga untuk menampung keluarga termasuk mempunyai anak masih bersekolah.

“Kalau sehari dapat RM20, lepas tolak itu, tolak ini, berapa sahaja yang tinggal untuk kami,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya