PUTRAJAYA: Sebanyak 231 institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ditutup di tiga mukim di Perak, Terengganu dan Negeri Sembilan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula Sabtu ini hingga 20 November.
Menurut kenyataan KPM, jumlah itu melibatkan 73 institusi pendidikan di seluruh daerah Dungun, daerah Kerian (91) dan Port Dickson (67).
Katanya, bilangan itu merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah Kementerian, Kolej Vokasional serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.
“Senarai institusi pendidikan yang ditutup di ketiga-tiga daerah ini dilampirkan bersama untuk rujukan ibu bapa, penjaga, warga sekolah dan institusi.
“Untuk makluman juga, senarai ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan akan dimuat naik di portal KPM di www.moe.gov.my dan di platform media sosial rasmi KPM,” katanya semalam.
KPM turut menjelaskan, sekolah dan institusi yang mempunyai asrama juga ditutup dan ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang.
Walau bagaimanapun, katanya, murid atau pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah atau institusi sepanjang tempoh penutupan akan berada di bawah penjagaan warden asrama.
“Keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah dan institusi,” jelasnya.
Bagi murid-murid yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang telah dijadualkan sepanjang tempoh penutupan institusi pendidikan, kenyataan itu turut menjelaskan, mereka hendaklah mendapatkan surat dari sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan.
Katanya, sepanjang tempoh penutupan tersebut, pentadbir sekolah serta semua institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru-guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.
“Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my.
“Dalam hal ini, KPM sentiasa memantau situasi di seluruh negara serta sentiasa bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan dan sebarang pemakluman berhubung penutupan sekolah serta institusi akan dibuat dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN