GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedia mempertimbangkan untuk memotong gaji exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk Tabung Covid-19 negeri ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri pada April lalu telah mengambil langkah serupa apabila semua exco menyerahkan gaji sebulan mereka kepada tabung berkenaan.
Menurut beliau, langkah itu juga diikuti semua ADUN kerajaan negeri dan pembangkang yang menyumbang 30 peratus gaji mereka bagi tujuan sama.
Malah, ujar beliau, Pulau Pinang juga antara negeri terawal yang melaksanakan langkah menyumbang kepada tabung Covid-19 menerusi potongan gaji ADUN pada April lalu sebelum diikuti beberapa negeri lain.
Bagaimanapun, katanya, langkah memotong gaji itu bukan bermaksud kerajaan negeri perlu melakukan penjimatan atau tidak mampu membayar gaji disebabkan tekanan ekonomi akibat Covid-19.
“Sebaliknya, ini merupakan kesedaran dalam kalangan exco dan ADUN untuk menyumbang sebahagian gaji mereka bagi membantu golongan terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Menerusi sumbangan kepada Tabung Covid-19 itu, kita dapat memberi bantuan barangan keperluan kepada golongan yang terkesan selain peralatan perlindungan diri (PPE) dan peralatan lain untuk kegunaan petugas barisan hadapan,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Semalam, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian mencadangkan gaji semua 56 ADUN Johor dipotong 10 peratus bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan negeri susulan krisis pandemik Covid-19 yang dihadapi masa kini dengan beliau bersedia menjadi orang pertama melakukannya.
Kata beliau, gaji Menteri Besar Johor perlu dipotong 20 peratus manakala exco pula sebanyak 15 peratus sebagai mencerminkan solidariti kepimpinan kerajaan dan wakil rakyat terhadap rakyat yang terkesan khususnya dibuang kerja dan perniagaan ditutup. – UTUSAN