JOHOR BAHRU : Pakatan Harapan (PH) Johor mengesyorkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan mengikut daerah atau bandar secara bersasar dan bukannya melibatkan seluruh negeri.
PH Johor dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya mempersoalkan keputusan PKPB itu dan amat binggung dengan pelaksanaanya termasuk di negeri ini kerana dilakukan secara tiba-tiba tanpa mengambil kira data yang relevan.
Kenyataan itu menambah kerajaan seharusnya memberikan perjelasan sewajarnya berkenaan keputusan berkenaan.
“Kami ingin mempersoalkan sama ada langkah semasa membendung penyebaran Covid-19 tidak berkesan sama ada disebabkan kurangnya kepatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) atau penguatkuasaan kurang komprehensif.
“Atau ia disebabkan wujudnya kelemahan mekanisme pengesanan patogen dan gangguan rantaian penularan virus dilaksanakan Kementerian Kesihatan.
“Oleh itu, kerajaan perlu membentangkan data perbandingan atau unjuran pandemik berkenaan ramalan penyebaran wabak di negeri-negeri tanpa PKPB. Langkah ini dapat meningkatkan kerjasama lebih baik masyarakat tempatan dan akhirnya mengekang penularan virus Covid-19,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama melibatkan Pengerusi Parti Amanah Negara Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.
Dalam pada itu, PH Johor menegaskan rakyat Malaysia kini menghadapi tekanan di atas pelbagai masalah termasuklah kekangan kewangan malah mereka kini sudah pada tahap keletihan untuk menghadapi pandemik itu yang kian berpanjangan.
Sehubungan itu, PH Johor mengesyorkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan Ekonomi iaitu satu unit penguatkuasaan undang-undang seperti Majlis Perbandaran dan Kementerian Kesihatan perlu menerapkan polisi penguatkuasaan lebih berhemah.
“Langkah ini dapat memberikan tumpuan menggalakkan masyarakat mematuhi SOP melainkan jika mereka ingkar, nasihat akan diberikan semasa pemeriksaan dilakukan sebelum saman dikeluarkan,” kata kenyataan tersebut.
Sementara itu, PH Johor mengesa Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammadd untuk melibatkan sama penglibatan wakil parti pembangkang dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negeri dan mesyuarat mitigasi Covid-19.
Kenyataan itu menambah, pihaknya menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berhasrat untuk menjemput parti-parti pembangkang untuk mengambil bahagian dalam Majlis Tindakan Ekonomi.
“Justeru itu semua pihak perlu berganding bahu agar perundingan dan perbincangan yang menyeluruh dan berkesan dapat dilaksanakan mengenai cara menangani wabak dan memulihkan ekonomi tanah air ini,” ujar kenyataan itu lagi. -UTUSAN ONLINE