PADANG BESAR: Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Batalion 3, Briged Utara menemukan 22 guni putih berisi daun ketum seberat 660 kilogram yang disembunyikan di kawasan kebun getah di Felda Mata Ayer, di sini semalam.
Pegawai Pemerintah Medan, Markas Taktikal Bukit Kayu Hitam, PGA Batalion 3, Briged Utara, Superintenden Rosman Kasman berkata, daun ketum tersebut ditemukan ketika anggota sedang menjalankan tugas risikan dan rondaan di kawasan terbabit kira-kira pukul 4.15 petang.
Katanya, daun ketum tersebut untuk di seludup ke negara jiran melalui lorong tikus.
“Semua guni putih dirampas dan dibawa ke balai polis Padang Besar untuk tindakan lanjut. Hasil pemeriksaan jumlah anggaran berat 660 kilogram daun ketum dengan anggaran nilai rampasan RM19,800.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, beliau memberitahu, PGA Batalion 3, Briged Utara mengambil serius terhadap sebarang aktiviti penyeludupan dan memerangi segala aktiviti jenayah penyeludupan di kawasan sempadan.
“Sehubungan itu, kami menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi 04-9222152 ( Markas Taktikal Bukit Kayu Hitam ) atau balai polis berdekatan,” ujarnya. – UTUSAN