Peruntukkan ADUN pembangkang naik tiga kali ganda - Utusan Malaysia

Peruntukkan ADUN pembangkang naik tiga kali ganda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI : Kerajaan Negeri menaikkan peruntukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang sebanyak tiga kali ganda iaitu daripada RM50,000 kepada RM150,000 bagi membantu mereka menyelesaikan masalah rakyat di kawasan masing-masing.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata malah elaun bagi ketua pembangkang juga dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000.

“Bagi meraikan peranan pembangkang yang bersifat konstruktif dan mengangkat martabat institusi wakil rakyat, saya dengan berbesar hati akan menaikkan peruntukan Yang Berhormat ADUN pembangkang daripada RM50,000 menjadi RM150,000.

“Selain itu, bagi memberikan lebih pengiktirafan kepada Ketua Pembangkang, saya mencadangkan elaunnya dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000 dan disediakan seorang pembantu tadbir,” katanya semasa membentangkan Belanjawan Johor 2021 bertema ‘Berdaya Tahan Demi Kemakmuran’ pada Persidangan Ketiga Dewan Negeri Johor Ke-14 di sini hari ini.

Menurut Hasni lagi, Kerajaan Negeri menerusi Agenda Governans Johor beriltizam untuk menambah baik kualiti penyampaian perkhidmatan dan urus tadbir supaya lebih cekap, berintegriti dan memenuhi aspirasi rakyat.

“Transformasi Governans Johor dapat dilaksanakan menerusi pemerkasaan penjawat awam dan inisiatif pemodenan seperti berikut pertama bagi meningkatkan kompetensi dan kapasiti penjawat awam, Kerajaan Negeri telah mewujudkan Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor.

“Kedua, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan badan-badan profesional bagi membuka ruang kepada penjawat awam negeri untuk memiliki kelayakan profesional dalam bidang teknikal dan bukan teknikal seperti Insinyur (Ir), Surveyor (Sr) dan akauntan bertauliah (CA),” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan kenaikan pangkat secara ‘time based’ berasaskan kecemerlangan untuk kali kedua dan ini bertujuan untuk memberikan laluan kerjaya yang lebih baik kepada pegawai kumpulan pelaksana dalam perkhidmatan awam negeri.

“Keempat, Kerajaan Negeri juga menjunjung kasih kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas perkenan mengisytiharkan Majlis Perbandaran Pasir Gudang menjadi sebuah bandar raya berkuatkuasa pada 22 November.

“Dengan pemasyhuran ini, ia akan meningkatkan keupayaan Pasir Gudang dalam menguruskan pembangunan pesat, melestarikan sektor ekonomi yang berteraskan industri dan pelabuhan di Pasir Gudang serta memelihara alam sekitar selaras dengan Dasar Kelestarian Negeri Johor,” katanya.

Hasni menambah kerajaan negeri kini turut dalam proses meneliti cadangan untuk menaik taraf Majlis Daerah Pontian menjadi perbandaran selain menggiatkan lagi pendigitalan tadbir urus kerajaan selari dengan Agenda Johor Digital. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya