SEREMBAN: Peruntukan bantuan akan dipertimbangkan kepada masjid dan surau di Negeri Sembilan yang terjejas ekoran banjir kilat yang melanda beberapa daerah semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, peruntukan tersebut tertakluk kepada peruntukan sedia daripada kerajaan pada masa ini.
“Secara khususnya memang tidak ada peruntukan tetapi kita cuba ikhtiar mengikut suasana, lebih-lebih lagi belanjawan juga belum diumumkan dan dahulukan perkara penting. Apa yang utama dahulu supaya kita dapat lakukan solat.
“Kita akan buat secara kolaborasi termasuk bersama kerajaan negeri dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim). Kita akan cuba cari jalan kerana masjid menjadi keutamaan saya” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan sumbangan kepada mangsa terjejas banjir di Masjid Kuala Sawah, Rantau hari ini.
Sumbangan bernilai RM40,000 tersebut berupa wang dan barangan keperluan diberikan kepada 200 penduduk terlibat di Rantau hasil sumbangan Yapeim dan Yayasan Taqwa.
Semalam, dianggarkan lebih 500 buah rumah terjejas dalam kejadian banjir kilat yang berlaku di beberapa daerah di Negeri Sembilan dengan majoritinya di daerah Seremban.
Di daerah Seremban antara kawasan yang teruk terjejas ialah di kawasan Rasah, Ampangan dan Rantau.-UTUSAN ONLINE