KLUANG : Para penduduk Kampung Kolam Air di sini saban hari berdepan risiko kemalangan apabila persimpangan Jalan Besar dilihat tidak selamat kerana sering berlaku kemalangan termasuk meragut nyawa.
Terbaru pada 6 November lalu seorang seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun meninggal dunia manakala bapanya parah selepas motosikal mereka dirempuh Toyota Vios dalam kemalangan di lokasi itu.
Setiausaha Jawatankuasa Penduduk Kampung Kolam Air, Mat Lazim Jumari berkata, pihaknya sudah mengajukan masalah itu kepada pihak berkuasa namun belum mendapat maklum balas.
“Pengguna di persimpangan Jalan Besar dan Jalan Pejabat Kerajaan memang kena lebih waspada jika mahu masuk atau keluar dari persimpangan itu.
“Jika tidak, memang mudah mereka terjebak dengan kemalangan kerana jalan itu sibuk tidak kira masa.
“Penduduk berharap pihak berkuasa memandang serius masalah ini sekurang-kurangnya disegerakan pelebaran Jalan Besar ataupun penutupan salah satu jalan keluar atau masuk di Jalan Pejabat Kerajaan,”‘ katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Sementara itu, seorang penduduk Kamaruhashim A. Kadir, 46, berkata, pihaknya sudah mengajukan masalah itu menerusi aduan secara dalam talian kepada pihak berkuasa sejak tiga tahun lalu, namun, hampa.
“Sampailah kemalangan maut baru-baru ini, menyebabkan mangsa Nur Syafiah Munirah yang juga anak penduduk kampung ini meninggal dunia.
“Bapa murid berkenaan Zulnawarin Sarman, 49, patah kedua-dua belah paha dan pergelangan tangan dalam kemalangan itu, dan tidak akan hendak ada lagi kemalangan maut baru hendak bertindak?.
“Sejak 10 tahun Jalan Besar dinaik taraf, memang di situ selalu berlaku kemalangan hingga ada yang cedera dan maut,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk Azali Ibrahim, 64, yang sudah menetap di situ sejak 2002 berkata, mahu isu itu diselesaikan segera kerana menyebabkan penduduk kampung gerun setiap kali mahu keluar masuk kampung.
“Memang mengambil masa yang lama untuk keluar atau masuk ke kampung kami sebab kenderaan bertali arus terutama waktu puncak.
“Pemandu yang tidak peka pula bersikap pentingkan diri sendiri dengan memandu laju di Jalan Besar,” katanya. -UTUSAN ONLINE