PUTRAJAYA: Pasukan National Task Force (NTF) yang mengendalikan Operasi Benteng akan melihat keperluan memperluaskan operasi di kawasan sempadan utara negara.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan berkenaan yang digerakkan secara bersepadu antara semua agensi penguatkuasaan pada masa ini tidak bertumpu di kawasan itu kerana ia dibahagikan tugas kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Justeru, katanya, sudah tiba masanya untuk tugasan di semua sempadan negara dilakukan secara bersepadu dan tidak lagi bergerak secara silo yang hanya ditugaskan kepada agensi tertentu.
“Bagaimanapun kita akan berbincang dahulu dengan pihak NTF yang mengendalikan kawasan sempadan di bawah Op Benteng untuk melihat semula mungkin ada keperluan untuk dibawa ke kawasan utara sempadan.
“Kawalan di sempadan perlu ditingkatkan dan jumlah kekuatan anggota perlu ditambah supaya apa yang dilakukan Op Benteng di Sabah dan beberapa kawasan di Semenanjung dapat digembleng bersama di kawasan utara,” katanya dalam sidang akhbar di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau mengulas kejadian serangan berbalas tembakan sehingga mengorbankan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sekitar 600 meter dari Tembok Sempadan (TS9), Padang Besar, Perlis semalam.
Dalam kejadian itu, Koperal Baharuddin Ramli, 54, gugur dalam pertempuran dengan 13 penyeludup ketum kira-kira 600 meter dari tembok sempadan negara berhampiran pos TS9 manakala rakannya, Koperal Norihan Tari, 39, cedera kerana ditembak di perut.
Ismail Sabri memberitahu, sejak 1 Mei lalu, seramai 8,760 pendatang asing tanpa izin (PATI), 798 tekong dan 360 penyeludup berjaya ditahan melalui Op Benteng.
Bagi tempoh semalam sahaja, operasi berkenaan berjaya menahan 36 PATI, seorang tekong serta merampas lima kenderaan darat dan sebuah bot atau kapal selain melaksanakan sebanyak 261 sekatan jalan raya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 312 individu atas kesalahan ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP) dan kesemuanya telah dikenakan kompaun.
Katanya, antara kesalahan ingkar SOP termasuk gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (99), tidak memakai pelitup muka (89), Gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (50), rentas daerah atau negeri perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (34), aktiviti pusat hiburan (29), dan lain-lain kesalahan (11).
Mengenai kuarantin wajib, beliau berkata, secara kumulatif sejak 24 Julai lalu, seramai 74,066 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.
Daripada jumlah itu, katanya, seramai 10,118 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 76 hotel dan 18 premis lain.
“Seramai 405 individu pula dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 63,543 individu dibenarkan pulang ke rumah.
“Semalam, seramai 409 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa negara dan kesemuanya dikuarantin wajib di stesen kuarantin seluruh negara,” katanya. -UTUSAN ONLINE